Tuesday, October 13, 2015

HAFAZAN NEURONADI AL BAGHDADI






Pertama kali menyertai kelas hafazan neuro nadi al baghdadi di Seksyen 7, Bangi Selangor memang sangat memeningkan. Tidak langsung faham akan konsep hafazan yang menekankan fungsi neurofisiologi tersebut. Namun, alah bisa tegal biasa. Sesuatu perkara yang dianggap susah dan mustahil pada awalnya, akhirnya memberikan kemanisan yang tidak terhingga. Benarlah sesungguhnya Al-Quran itu mukjizat dan sesungguhnya tiada suatu yang mustahil pun bagi Allah.

Menghafaz al-Quran memang memerlukan  ingatan yang cukup kuat dan pastinya sangat berkait rapat dengan fungsi otak. Melalui kaedah hafazan neuronadi al baghdadi ini, kaedah hafazannya sangat unik iaitu menghafaz sambil mengingat nombor ayat. Ayat tersebut juga boleh dibaca secara terbalik, mengenal pasti ayat ganjil dan ayat genap serta guru akan menyebut nombor ayat sahaja. Proses hafazan ini dimulakan dengan juzuk 30 Surah An-Naba'.

Secara umumnya keupayaan otak manusia memproses dan mengingat maklumat ialah sebanyak 125 500 000 000 000. Namun, selama ini kita tidak memanfaatkan dan memaksimumkan penggunaan otak kita. Melalui kaedah ini kita akan mengoptimakan penggunaan otak kiri dan kanan dengan mengaktifkan secara sedar kedua-dua otak tersebut khususnya otak kanan. Selama ini kita menghafal dan mengingat dengan menggunakan otak kiri, namun kita tidak sedar atau tidak mengendahkan keupayaan otak kanan. Sedangkan untuk menghafaz aras tinggi, kita perlu memaksimumkan penggunaannya dalam sedar.

Ilmu neurofisiologi ini merupakan ilmu yang berkaitan fungsi otak dan sistem saraf. Sistem saraf otak memiliki berjuta-juta sel neuron yang strukturnya berangkai dan sel ini disokong oleh ribuan dendrit yang menghasilkan rangsangan maklumat. Uniknya hafazan al baghdadi ini dengan mengingat nombor ayat iaitu pada masa yang sama memaksimumkan fungsi keupayaan otak. Fungsi otak boleh dilihat dalam gambar rajah di atas. Fungsi otak kiri ialah mengenalpasti maklumat nadi dan membaca dalam susunan secara berurutan. Namun otak kanan melengkapkan penggunaan otak kiri iaitu dengan melihat ayat secara holistik dan imaginasi untuk mengingat nombor dan kedudukan ayat (Lihat gambar rajah utk lebih jelas peranan otak). Kita terlalu sombong dengan fungsi otak kanan kita selama ini, sedangkan fungsi otak kanan lebih luas atau holistik. Oleh itu, jangan sia-siakan otak yang Allah jadikan yang sememangnya sangat unik dan ajaib untuk difikirkan kejadiannya.

Antara langkah-langkah yang perlu diikuti untuk teknik ini:

Teknik hafazan nadi albaghdadi.
1. Guru membaca tiga kali, pelajar mendengar dan lihat bahan (fokus bahan)
2. Guru membaca tiga kali dan pelajar mengikut ayat yang dibacakan bahan ( lihat dan rujuk bahan )
3. Guru mengarahkan kumpulan demi kumpulan membaca ( dengan merujuk dan melihat bahan)
- Jadi proses membaca, mendengar dan melihat bahan berlaku lebih sepuluh kali. Melihat bahan sangat dipentingkan ketika ini. Pelajar perlu fokus kepada bahan dengan lihat teliti.

4. Guru mengarahkan kumpulan demi kumpulan membaca tanpa lihat bahan. Proses ini bergantung kepada kreativiti guru supaya pelajar tidak bosan. Guru boleh mengarahkan bacaan secara giliran sama ada kumpulan, jantina atau sebagainya. Pada masa ini pelajar tidak melihat bahan dan mereka dapat menghafal ayat tersebut. Proses mengulang merupakan antara proses hafazan yang perlu dilaksanakan.

 5. Setelah menghafaz beberapa ayat melalui kaedah di atas, pelajar dapat mengenalpasti nombor ayat dan 7 langkah di bawah perlu diikuti.

- baca ayat ikut turutan
- Undur bacaan ayat
-Baca ayat ganjil
-Undur baca ayat ganjil
- Baca ayat genap
-Undur baca ayat genap
-Guru tebuk dengan menyebut nombor ayat. Pelajar fokus dengan kedudukan ayat. Ini berkait rapat dengan fungsi otak kanan.

5. Pengukuhan ayat dalam kumpulan ( Rakan Nadi ). Salah satu cara untuk mengingat ialah dengan bantuan rakan nadi. Dengan mengikut turutan langkah 7 tersebut, rakan nadi saling bekerjasama dengan tujuan mengukuhkan ingatan masing-masing. Caranya ialah memperdengarkan bacaan masing-masing dengan langkah 7 tersebut.

Oleh itu, dengan kerajinan dan istiqomah yang kukuh dan jitu, tidak mustahil kita akan dapat menghafaz al-Quran melalui teknik yang unik tersebut. Tanamkan tekad untuk menghafaz Al-Quran kerana menghafaz itu banyak kelebihannya. Siapa yang tidak mahu menjadi VVIP Allah??? Nikmat yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.  Penulis sebenarnya masih lagi merangkak dalam dunia hafazan ini.

Di samping penulis belajar menghafaz al-Quran, Allah memberi peluang untuk penulis mengajar  menghafaz dengan menggunakan kaedah ini. Melalui kursus perunding yang diambil bagi melayakkan untuk mengajar kaedah ini, rentetan itu penulis juga memohon tauliah daripada pihak Al Baghdadi untuk melayakkan mengajar hafazan, begitu juga dengan bengkel pemantapan yang dihadiri untuk terus meyakinkan diri ini untuk mengajar walaupun dirasakan diri ini sangat kerdil.

 Apa-apa pun sentiasa berdoa supaya kita terpilih sebagai VVIP Allah ini dan semoga kita sentiasa bermotivasi dan istiqomah dalam menghafaz al-Quran. Mohon doa dari pembaca agar memudahkan perjalanan diri ini untuk menghafaz dan mengajar al-Quran. Amin. Semoga Allah merahmati kita semua. Insya Allah...


Thursday, April 2, 2015

KEMATIAN YANG MENANTI

Benarlah...
Hidup ini amat singkat untuk dihitung
Namun...
Bersediakah diri itu?
Untuk menghadapi kematian...
Bekalan?
Amalan?

Ya Allah?
Bersediakah aku?
Bebaskah aku dari siksaan-Mu?
Dengan amalanku yang sedikit.
Dengan dosaku yang bertimbun.

Ya Allah...
Kasihanilah aku dengan rahmat-Mu...

Saturday, September 7, 2013

HIDUP BERMANFAAT





Alhamdulillah diberi peluang untuk menyampaikan " Special Talk" jemputan Srikandi Icore bertempat di Dewan Seminar, Masjid Sultan Abu Bakar yang lalu. Tajuk yang disampaikan 'Hidup Bermanfaat'.

Manusia yang terbaik dalam kalangan kamu adalah manusia yang paling bermanfaat terhadap orang lain. Hidup yang perlu dimanfaat oleh manusia itu seharusnya bermula daripada sebelum Subuh sehingga dia menutup mata pada malamnya. Sumbangan yang terbaik terutamanya kepada diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Apatah lagi jika sumbangan itu diringi dengan sifat ikhlas yang menjadi tunjang dalam penerimaan amal.

Hidup yang bermanfaat akan menjadi pencetus utama kecintaan terhadap Allah SWT. Mukmin yang sejati tidak akan mensia-siakan masa yang diberikan kerana masa itu seumpama sebuah kehidupan. Apabila dijaga dengan baik, maka masa itu akan mendekati dan menjadi darah daging kita. Namun apabila masa itu dijadikan sebagai suatu batasan dan sempadan, maka masa itu akan menjauhkan diri daripada kita.

Sekadar memetik mutiara hikmah yang sangat berharga daripada Dr Yusuf al-Qardhawi, beliau mengatakan bahawa jenayah yang paling besar melanda umat Islam pada hari ini ialah membazir masa. Jika diselami kata-kata yang sangat memberikan kebenaran di dunia realiti hari ini, umat Islam sangat dilalaikan dengan masa. Masa yang ada kebanyakkannya dihabiskan dengan sia-sia dan tiada sebarang manfaat yang diperoleh. Hakikatnya ramai yang ketinggalan dan sangatmudah dikutak-katikkan oleh musuh Islam.

Kita mahu menjadi manusia yang bermanfaat. Hidup yang bermanfaat dengan memberi pelbagai kebaikan kepada orang lain. Segala-galanya akan menjadi saksi di akhirat kelak di mana kita menggunakan masa yang sepenuhnya demi membangunkan agama.

Belajar itu suatu perjuangan jihad yang perlu dimiliki oleh semua umat Islam. Belajarlah demi membangunkan agama. Niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu dan semoga segala-galanya mendapat pertimbangan Allah di akhirat kelak.

Hidup di dunia ini perlu bermanfaat dengan memberikan sumbangan kepada orang lain. Dunia ini seumpama benih yang ditebar oleh Sang Petani lalu benih itu hidup subur. Akhirat pula seumpama hasil tuaian yang menggembirakan atau menyedihkan hati Sang petani. Oleh itu, memberikan manfaat itu akan memberikan keuntungan dunia dan ukhrawi kepada manusia itu yang saling memberi sumbangan demi membangunkan agama.

Keikhlasan yang disemai di jiwa akan menjadi perintis kepada segala sumbangan demi agama yang pastinya memberikan anugerah yang tidak ternilai kepada manusia itu.

Akhir kalam, jadilah manusia yang bermanfaat dan sumbangan yang kecil itu akan dinilai sebagai suatu sumbangan besar pada pandangan Allah jika hati itu suci dan ikhlas semata-semata mencari cinta dan reda-Nya.

Terima kasih dengan peluang yang diberikan. Perkongsian ilmu yang pastinya dan tujuan utamanya semata-semata mencari keredaan Allah semata-mata.

Jadikanlah hidup kita di dunia ini memberikan manfaat kepada agama, diri, ibu bapa,keluarga dan masyarakat. Memudahkan urusan itu akan melorongkan pelbagai kebaikan kepada manusia itu.

Wallahua'lam.

Friday, August 23, 2013

Syria dan Mesir - Hanya manusia yang akan memahami


Apabila menyentuh isu Syria, hati ini meruntun pilu. Apabila melihat kekejaman yang dilakukan oleh Regim Basyar yang dilaknat, hati dan jiwa ini mengutuk keras dan mendoakan kecelakaan dan juga mereka yang menyokong kekejaman tersebut. Begitulah apabila manusia dibutakan hatinya. Hanya mata celik yang melihat namun mata hati itu dibutakan. Kasihannya mereka apabila diberikan pelbagai kesenangan,namun mata hati  itu tidak mampu dicelikkan bahkan bertambah-tambah lagi kekejaman yang didorongi oleh hasutan syaitan dan musuh-musuh Islam yang lain. Kekejaman yang mengakibatkan kematian terutamanya kanak-kanak, wanita, orang tua dan kaum lelaki memang tidak dapat diterima oleh akal yang logik. Manusia itu memang kejam. Manusia itu sememangnya manusia yang tidak takutkan hukum Tuhan yang pasti akan memusnahkan mereka pada suatu hari ini. Nantilah kemenangan Islam dan kamu yang kejam akan lenyap di muka bumi ini. Mereka yang menyokong kekejaman itu juga pasti akan diberi balasan setimpal oleh Allah. Allah pasti akan menurunkan bantuan-Nya, cuma manusia itu perlu bersabar dengan kekuatan hati dan jiwa dalam menempuh ujian berat ini. Wahai Syria, doaku tidak pernah putus kepadamu.

Begitu juga apabila menyentuh Isu Mesir. Kekejaman si laknat As-Sisi akan mendapat balasan Allah jua. Sabarlah wahai saudara-saudaraku, sesungguhnya ujian yang berat itu diturunkan untuk insan yang hebat. Insan yang sentiasa dalam perhatian-Nya. Bagi mereka yang masih menyokong kekejaman yang dilakukan, ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka berada dalam kerugian. Apabila Allah memperlihatkan kekejaman itu manis pada pandangan mereka, maka tanyalah diri sendiri, di manakah tahap iman kita. Masih selamat atau perlu dicarikan doktor jiwa untuk menyembuhkannya. Hanya mereka yang bergelar manusia sahaja yang akan merintih melihat kekejaman yang dilakukan. Namun, apabila hati manusia itu umpama binatang, kekejaman itu tidak dilihat sebagai suatu yang serius, malah kematian itu seumpama kematian seekor semut yang tidak mempunyai sebarang nilai. Begitulah tanggapan hati manusia yang dibutakan hatinya. Wahai Mesir, doa kami tidak pernah putus kepadamu. Ketahuilah kami akan sentiasa bersama-samamu. Bantuan Allah akan tiba jua. Bersabarlah dan bertabahlah. Mereka yang kejam akan musnah dilaknat oleh Tuhan yang memiliki alam ini. Kebatilan akan lenyap jua. As-sisi yang dilaknat akan menemui pembalasannya pada suatu hari nanti. Sama-sama kita nantikan saat itu. Syahidmu adalah syahid seorang pejuang yang sangat tinggi kedudukannya dalam Islam. Semoga Allah memberikan balasan kepada kekejaman dan kepada mereka yang masih menyokong, ketahuilah betapa rendahnya mentaliti seorang manusia yang tidak dapat mengenali soal kemanusiaan.

Isu Mesir dan Syria merupakan isu kemanusiaan. Isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua negara Islam termasuk Malaysia. Namun, hakikatnya tidak begitu. Kebanyakannya masih tunduk dengan Yahudi dan masih gentar dengan musuh Islam. Islam hanya dilihat pada nama, tetapi tidak pada tindakan. Bagaimanakah situasi negara ini pada masa akan datang yang semakin dicemari dengan krisis akhlak dan moral yang kian merudum? Takutlah wahai pemimpin, akan balasan Allah di akhirat kelak. Setiap pemimpin akan dipersoalkan segala tindakan dan tanggungjawabnya. Bertegaslah dengan isu Syria dan Mesir,kalian pasti akan disanjung tinggi oleh rakyatmu. Tidak apa yang kami mahukan kecuali kami mahukan pemimpin yang benar-benar mengikut lunas dan landasan Islam yang sebenar. Jadilah manusia yang sebenarnya manusia. Jauhilah menjadi manusia yang sentiasa bertopeng. Sesungguhnya topeng itu memusnahkan dan menjatuhkan maruah dan keimanan sehingga ke peringkat bawah sekali. Gentarkah kita dengan pembalasan Allah yang bakal diterima? Gentarkah apabila kematian yang pasti menjemput kita pada bila-bila masa yang tidak diketahui? Gentarkah apabila disajikan pelbagai balasan yang bakal diterima jika Islam itu hanya di kulit tetapi tidak di hati?

Ya Allah, kurniakanlah kemenangan kepada ISLAM. Turunkanlah bantuan-Mu ya Allah. Hapuskanlah musuh-musuh-Mu sehingga ke suatu titisan yang tidak bersisa. Menangkanlah ISLAM ya Allah. Amin.

Berdoa- berdoa dan berdoalah... .

Tuesday, August 20, 2013

MENULISLAH DARI HATI



Alhamdulillah. Sudah lama blog ini tidak dikemas kini. Semoga ilham yang dikurniakan oleh Allah ini akan terus berkembang dan menjadi sesuatu yang memberikan manfaat kepada saya. Insya Allah semoga Allah terus-menerus memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menulis dan memperbaharui blog ini dari semasa ke semasa demi menyebarkan suatu ilmu yang sangat bermanfaat. Amin.

Tidak semua manusia itu diberikan kelebihan untuk menulis. Memang tidak dapat dinafikan menulis merupakan antara suatu anugerah terhebat oleh Allah kepada hamba-Nya yang terpilih. Oleh yang demikian, dengan kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan, jadikan medan penulisan ini sebagai suatu medan dakwah yang dapat menjadikan manusia itu kembali ke pangkal jalan. Tiada yang lebih diharapkan oleh setiap penulis kecuali hasil tulisannya itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Sesungguhnya tulisan yang hebat itu bukan dinilai daripada banyaknya royalti yang diperoleh dan bukan hasil tulisannya itu menjadi ' best seller'. Namun, apa yang dikehendaki oleh penulis ialah hasil karyanya itu mampu membuatkan pembaca sedar akan kealpaan dan menjadi semakin dekat dengan Pencipta-Nya. Bertuahnya karya itu yang mampu memberikan pahala yang besar kepada penulisnya. Karya hebat yang dapat meruntun hati pembaca dan semakin mengingati Allah di akhirnya. Begitulah karya yang diimpikan selama ini. Semoga Allah mengabulkan hasrat ini.

Tidak semua hasil karya yang ditulis dapat meruntun hati pembaca untuk semakin mencintai Allah. Ada karya yang melalaikan, melekakan dan ada juga karya yang terlalu berlebih-lebihan dalam bab-bab sensitif sehingga menjadikan pembaca lalai dan teralpa seketika. Begitulah pentingnya niat sebelum menghasilkan karya. Niatkan menulis untuk berdakwah semata-mata kerana Allah SWT. Benarlah, tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tulislah dengan ikhlas dan penuh tawaduk demi membangunkan agama. Memperoleh royalti daripada hasil karya tidak sepatutnya berada di kedudukan terawal sebelum melaksanakan sebarang aktiviti penulisan.

Apabila diniatkan kerana Allah untuk berdakwah dan memberikan peringatan kepada manusia, maka Allah akan menurunkan ilham yang tidak disangka-sangka seumpama hujan yang mencurah-curah membasahi bumi tanpa sebarang kawalan. Yang terpenting niat di dalam hati dan jiwa itu perlu ikhlas. Hebatnya anugerah Allah tanpa batasan ini. Segala-galanya terserah kepada penulis untuk menghasilkan karyanya. Hebatnya juga seorang penulis apabila dapat menghasilkan tulisan yang benar-benar lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Indahnya karya itu yang dapat mengubah hati pembaca. Sesungguhnya hati manusia itu milik Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat mengubah hati manusia. Oleh itu, berusahalah agar kita dapat menghasilkan karya indah yang dijadikan perantara dalam mengubah hati manusia. Berbahagialah jika kita tergolong dalam penulis yang sedemikian rupa. Menulis dari hati akan dapat melonjakkan suatu anjakan dalam membawa manusia ke arah kebenaran dan memberi peringatan antara satu sama lain. Begitulah karya yang diredai dan semoga kita dijauhkan daripada menghasilkan karya yang melalaikan dan tidak memberi sebarang manfaat untuk diri, ibu bapa, keluaraga, agama dan masyarakat.

Menghadiri konvensyen mini penulisan yang dihadiri oleh pelbagai lapisan sama ada penulis hebat dan bakal penulis serta ilmu yang diperoleh daripada penceramah yang hebat memang sangat mengujakan. Pelbagai input dapat diperoleh dan semakin menaikkan semangat untuk menulis demi ISLAM yang dicintai. Menulis untuk memperoleh royalti akhirat dan yang paling utama segera bertindak dalam menghasilkan karya. Alumni Konvensyen yang diwujudkan oleh Tuan Zamri Mohammad dan Cikpuan Azzah Abdul Rahman juga memberikan pelbagai maklumat dan faedah kepada bakal-bakal penulis mahu pun penulis sendiri. Semoga Allah melimpahkan pelbagai kebaikan kepada mereka ini. Begitu juga dengan mentor penulisan iaitu Tuan Hasanuddin Md Isa yang tidak jemu menghadapi karenah anak didiknya yang ada kalanya mempunyai semangat tinggi lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas, ada kalanya semangat jatuh seperti batu yang dicampakkan ke laut dalam. Namun, segala-galanya menjadi motivasi dan inspirasi untuk terus menulis. 

Semoga Allah mencetuskan suatu ilham luar biasa yang dapat menarik pembaca melalui karya yang saya hasilkan. Semoga Allah menjadikan hasil karya saya digeruni oleh musuh Islam. Semoga karya yang saya hasilkan dapat menjadikan pembaca itu semakin dekat dengan Allah. Semoga Allah menjadikan karya saya sebagai ledakan yang dapat mengubah umat. Semoga karya yang dihasilkan itu mampu membawa saya semakin mencintai Allah dan Rasul-Nya. Semoga Allah memberikan keikhlasan yang berpanjangan dengan kemantapan idea serta kemudahan dalam menghasilkan penulisan demi penulisan. Semoga hati ini sentiasa tunduk, patuh dan tawaduk kepada-Nya dalam menghasilkan sebuah penulisan yang benar-benar ;ahir dari hati yang tulus ikhlas. 

Akhir kalam, menulis itu merupakan suatu ilmu bermanfaat yang dapat membantu kita di alam barzah nanti. Semoga hasil penulisan kita akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa perjuangan untuk menjadikan manusia itu kembali kepada pencipta-Nya tidak pernah luntur malah semakin membuak-buak demi memartabatkan ISLAM di mana-mana sahaja. Sedikit pesanan untuk diri dan sahabat-sahabat, menulislah dari hati kerana tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tiada niat selain semata-mata kerana Allah demi membangunkan ISLAM di mana-mana sahaja kita berada.

Semoga Allah mengabulkan segala permohonan hamba-Nya yang hina ini. Amin.

Sunday, January 20, 2013

BIARKAN PENA ITU BERBICARA


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis
( Al-Qalam : 1)


Alhamdulillah....
Allah memberi peluang dan memilih diri ini untuk menimba ilmu daripada penulis-penulis yang hebat dan berpengalaman di Bengkel Penulisan Dakwah Muslimah tanggal 18 Januari 2013 yang lalu di Universiti Islam Antarabangsa. Menghadiri bengkel ini menyemarakkan lagi semangat dan motivasi diri ini untuk menjadi seorang penulis yang benar-benar berada di atas landasannya. Memperoleh tips-tips untuk menulis daripada Tuan Hasanuddin Md Isa dan ditambahkan ilmu tentang penulis itu dengan menghadiri bengkel ini yang memang sangat mengujakan. Mendapat ilmu secara terus daripada Oki Setania Dewi, Ustazah Noraslina Jusin ( Isteri Ustaz Zaharuddin ), Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Hazrizal Jamil terus menerus menyuntik semangat untuk berdakwah dalam bidang penulisan ini. Memang terasa indah dunia penulisan itu apabila menulis di landasan benar yang membawa kepada keredhaan Allah.

Kesimpulan yang boleh diambil daripada keseluruhan bengkel ialah menulis kerana Allah, bukan kerana manusia dan ingin mendapatkan ganjaran semata-mata. Menulis itu adalah suatu dakwah. Suatu dakwah hanya akan berkesan apabila keikhlasan dijadikan teras yang paling utama sebelum memulakan suatu pekerjaan. Niatkan diri menulis kerana Allah kerana setiap perkara yang dimulai kerana Allah akan memperoleh keberkatan di akhirnya. Hanya Allah akan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh hamba-Nya. Setiap perkara yang dilakukan perlu dimulai dengan niat. Niat menulis kerana Allah akan memberi pahala yang besar kepada menulis. Niatkan kerana Allah ketika bermula, semasa dan selepas menulis. Keikhlasan yang berpanjangan akhirnya akan sampai ke hati pembaca.

Menulislah dari hati kerana tulisan yang lahir dari hati akan sampai ke hati. Tulislah sesuatu yang bermanfaat supaya membawa kepada kebaikan pada masa akan datang. Tinggalkanlah suatu ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh pembaca. Jika pembaca kembali ke jalan Allah apabila membaca hasil tulisan kita, betapa besarnya dan tersebarnya pahala yang besar di muka bumi ini. Ilmu yang bermanfaat merupakan suatu ilmu yang membawa kepada kebahagian berpanjangan kepada penulis apabila mereka meninggalkan dunia kelak. Tiada yang lebih berharga apabila karyanya dibaca dan menimbulkan keinsafan kepada pembaca lalu mereka berubah dan berhijrah. Alangkah indahnya dan hebatnya apabila kita memiliki karya sedemikian. 

Setiap manusia yang dilahirkan mampu menulis. Carilah dan garaplah ilmu penulisan itu. Penulisan memerlukan kemahiran dan pembacaan yang luas. Sesungguhnya ilham itu datang dari Allah. Ilham yang datang mencurah-curah seperti hujan turun dari langit memang membawa suatu kenikmatan kepada penulis. Namun, andaikata ketika menulis menemui jalan buntu, semaklah dan muhasabahlah diri kenapa berlaku keadaan sedemikian. Luaskanlah pembacaan dan berdoalah kepada Allah supaya segala-galanya dipermudahkan. Menulislah kerana Allah dan Allah akan memudahkannya. Mulakanlah menulis pada hari ini. Jangan ambil sikap suka bertangguh yang ternyata sangat merugikan. Jika tidak bermula hari ini, bila lagi...

Jadikanlah hasil penulisan anda sebagai suatu karya yang dapat memberi manfaat kepada manusia yang lain. Mulakanlah dengan kebaikan dan jika kebaikan itu tersebar, betapa besarnya pahala MLM yang diperoleh. Jauhi penulisan picisan yang melalaikan kerana apabila kita memulakan suatu keburukan, ganjaran yang buruk itu akan kita peroleh. Sebarkan kebaikan, sebarkan manfaat, kebaikan dan kebahagia itu akan berterusan sehingga ke syurga.

Menulis itu suatu dakwah. Jadi, penulis itu adalah pendakwah. Sebarkan ilmu melalui penulisan. Hasilkan penulisan yang mampu mengubah pembaca supaya kembali kepada Allah. Ikhlaskanlah hati sebenar-benarnya ketika menghasilkan penulisan itu. Allah akan membantu hamba-Nya yang ikhlas berjuang kerana-Nya. Sesungguhnya Dia yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi. Bersama-sama kita semarakkan dunia penulisan ini sebagai suatu medan dakwah. Tinggalkanlah ilmu yang bermanfaat sebelum kita meninggalkan dunia ini. Mulakan menulis pada hari ini dan waktu ini. Peruntukkan sedikit masa untuk menulis, istiqomah dan akhirnya disiplin menulis itu akan ditemui. 

Semoga Allah memberi peluang kepada kita untuk menulis semata-mata kerana-Nya. Jangan jadikan popular itu sebagai suatu yang utama. Cukuplah hanya Allah sahaja yang mengetahui niat di hati. Allah dijadikan landasan untuk menulis. Allah akan merahmati hamba-Nya yang melakukan sesuatu kerana-Nya. Indahnya penulisan itu jika berada di landasan yang sebenar. Matlamat suatu penulisan adalah semata-mata kerana-Nya. Jika tidak walaupun pena itu berbicara, langsung tidak akan mendapat apa-apa melainkan hanya letih dan sia-sia semata-mata.

Ayuh! Mulakan menulis pada ketika ini. Kita adalah pendakwah. Bawalah seramai manusia kepada kebaikan. Hanya Dia yang akan membalasnya. Insya Allah.

Raub. 11.46 pagi 20/1/2013

Sunday, November 18, 2012


DEMIMU PALESTIN...

Palestin....
Setiap kali melihat dan mendengar beritamu, hatiku meruntun pilu....
Setiap kali melihat dan mendengar beritamu, kolam mataku mengalir laju
Setiap kali melihat dan mendengar beritamu, jiwaku menangis tatkala hati berbicara...
Bilakah kesudahannya...
Anak-anak kecil menjadi mangsa...
Ibu merintih kehilangan...
Tanah air menjadi medan tangisan...
Bilakah akan berakhir...
Penderitaan dan penjajahan ini...
Oleh Israel laknat durjana
Namun dari jauh aku melihat...
Para pejuang tekad bersemangat
Syahid yang dicari..
Aku melihat jiwa Islam sebenar
Di bumi Palestin ini
Namun, di manakah aku
Aku tetap di bumi yang damai
Melihat keruntuhan sebahagian ummahku...
Yang masih lalai dan leka dengan dunia...
Demimu Palestin...
Ku tekadkan semangat...
Bumimu  akan ku kunjung
Tabah dan sabarlah wahai saudaraku
Doa kami mengiringimu
Kami yakin dengan janji Allah
Kemenangan pasti tiba!!!!

 7.13 am 18 Nov 2012

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails