Tuesday, August 20, 2013

MENULISLAH DARI HATI



Alhamdulillah. Sudah lama blog ini tidak dikemas kini. Semoga ilham yang dikurniakan oleh Allah ini akan terus berkembang dan menjadi sesuatu yang memberikan manfaat kepada saya. Insya Allah semoga Allah terus-menerus memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menulis dan memperbaharui blog ini dari semasa ke semasa demi menyebarkan suatu ilmu yang sangat bermanfaat. Amin.

Tidak semua manusia itu diberikan kelebihan untuk menulis. Memang tidak dapat dinafikan menulis merupakan antara suatu anugerah terhebat oleh Allah kepada hamba-Nya yang terpilih. Oleh yang demikian, dengan kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan, jadikan medan penulisan ini sebagai suatu medan dakwah yang dapat menjadikan manusia itu kembali ke pangkal jalan. Tiada yang lebih diharapkan oleh setiap penulis kecuali hasil tulisannya itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Sesungguhnya tulisan yang hebat itu bukan dinilai daripada banyaknya royalti yang diperoleh dan bukan hasil tulisannya itu menjadi ' best seller'. Namun, apa yang dikehendaki oleh penulis ialah hasil karyanya itu mampu membuatkan pembaca sedar akan kealpaan dan menjadi semakin dekat dengan Pencipta-Nya. Bertuahnya karya itu yang mampu memberikan pahala yang besar kepada penulisnya. Karya hebat yang dapat meruntun hati pembaca dan semakin mengingati Allah di akhirnya. Begitulah karya yang diimpikan selama ini. Semoga Allah mengabulkan hasrat ini.

Tidak semua hasil karya yang ditulis dapat meruntun hati pembaca untuk semakin mencintai Allah. Ada karya yang melalaikan, melekakan dan ada juga karya yang terlalu berlebih-lebihan dalam bab-bab sensitif sehingga menjadikan pembaca lalai dan teralpa seketika. Begitulah pentingnya niat sebelum menghasilkan karya. Niatkan menulis untuk berdakwah semata-mata kerana Allah SWT. Benarlah, tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tulislah dengan ikhlas dan penuh tawaduk demi membangunkan agama. Memperoleh royalti daripada hasil karya tidak sepatutnya berada di kedudukan terawal sebelum melaksanakan sebarang aktiviti penulisan.

Apabila diniatkan kerana Allah untuk berdakwah dan memberikan peringatan kepada manusia, maka Allah akan menurunkan ilham yang tidak disangka-sangka seumpama hujan yang mencurah-curah membasahi bumi tanpa sebarang kawalan. Yang terpenting niat di dalam hati dan jiwa itu perlu ikhlas. Hebatnya anugerah Allah tanpa batasan ini. Segala-galanya terserah kepada penulis untuk menghasilkan karyanya. Hebatnya juga seorang penulis apabila dapat menghasilkan tulisan yang benar-benar lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Indahnya karya itu yang dapat mengubah hati pembaca. Sesungguhnya hati manusia itu milik Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat mengubah hati manusia. Oleh itu, berusahalah agar kita dapat menghasilkan karya indah yang dijadikan perantara dalam mengubah hati manusia. Berbahagialah jika kita tergolong dalam penulis yang sedemikian rupa. Menulis dari hati akan dapat melonjakkan suatu anjakan dalam membawa manusia ke arah kebenaran dan memberi peringatan antara satu sama lain. Begitulah karya yang diredai dan semoga kita dijauhkan daripada menghasilkan karya yang melalaikan dan tidak memberi sebarang manfaat untuk diri, ibu bapa, keluaraga, agama dan masyarakat.

Menghadiri konvensyen mini penulisan yang dihadiri oleh pelbagai lapisan sama ada penulis hebat dan bakal penulis serta ilmu yang diperoleh daripada penceramah yang hebat memang sangat mengujakan. Pelbagai input dapat diperoleh dan semakin menaikkan semangat untuk menulis demi ISLAM yang dicintai. Menulis untuk memperoleh royalti akhirat dan yang paling utama segera bertindak dalam menghasilkan karya. Alumni Konvensyen yang diwujudkan oleh Tuan Zamri Mohammad dan Cikpuan Azzah Abdul Rahman juga memberikan pelbagai maklumat dan faedah kepada bakal-bakal penulis mahu pun penulis sendiri. Semoga Allah melimpahkan pelbagai kebaikan kepada mereka ini. Begitu juga dengan mentor penulisan iaitu Tuan Hasanuddin Md Isa yang tidak jemu menghadapi karenah anak didiknya yang ada kalanya mempunyai semangat tinggi lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas, ada kalanya semangat jatuh seperti batu yang dicampakkan ke laut dalam. Namun, segala-galanya menjadi motivasi dan inspirasi untuk terus menulis. 

Semoga Allah mencetuskan suatu ilham luar biasa yang dapat menarik pembaca melalui karya yang saya hasilkan. Semoga Allah menjadikan hasil karya saya digeruni oleh musuh Islam. Semoga karya yang saya hasilkan dapat menjadikan pembaca itu semakin dekat dengan Allah. Semoga Allah menjadikan karya saya sebagai ledakan yang dapat mengubah umat. Semoga karya yang dihasilkan itu mampu membawa saya semakin mencintai Allah dan Rasul-Nya. Semoga Allah memberikan keikhlasan yang berpanjangan dengan kemantapan idea serta kemudahan dalam menghasilkan penulisan demi penulisan. Semoga hati ini sentiasa tunduk, patuh dan tawaduk kepada-Nya dalam menghasilkan sebuah penulisan yang benar-benar ;ahir dari hati yang tulus ikhlas. 

Akhir kalam, menulis itu merupakan suatu ilmu bermanfaat yang dapat membantu kita di alam barzah nanti. Semoga hasil penulisan kita akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa perjuangan untuk menjadikan manusia itu kembali kepada pencipta-Nya tidak pernah luntur malah semakin membuak-buak demi memartabatkan ISLAM di mana-mana sahaja. Sedikit pesanan untuk diri dan sahabat-sahabat, menulislah dari hati kerana tulisan yang lahir daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca. Tiada niat selain semata-mata kerana Allah demi membangunkan ISLAM di mana-mana sahaja kita berada.

Semoga Allah mengabulkan segala permohonan hamba-Nya yang hina ini. Amin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails