Saturday, March 27, 2010

APABILA HATI MENJADI KERAS

Sepotong hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang berbunyi “Sesungguhnya di dalam jasad ada segumpal daging, bila ia baik, maka baik pula seluruh jasad, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa gumpalan itu adalah hati,” membincangkan bagaimana cara untuk merawat hati yang keras.

Hati merupakan cerminan sejati seorang manusia, pangkal kepada segala gerak-geri manusia. Hati dari segi mediknya berfungsi untuk menyaring dan meneutralkan toksid-toksid dalam tubuh. Hati yang rosak dan tidak mampu berfungsi dengan baik boleh memudaratkan kesihatan seseorang malah boleh menyebabkan kematian. Sebagaimana pentingnya hati kepada manusia dalam kehidupan dunianya, begitu jugalah kepentingannya untuk kehidupan akhirat seperti yang dijelaskan ALLAH dalam firmanNYA dan Rasulullah S.A.W melalui lisannya. Jika baik hatinya, maka akan baik pula perangainya dan jika rosak hatinya maka akan rosaklah perangainya.Oleh itu, hati manusia harus sentiasa dijaga sebaik mungkin sebagaimana menjaga organ-organ zahir yang lain. Tidak sepatutnya kita mengabaikan penyakit hati, tetapi bertungkus-lumus mengubati penyakit-penyakit zahir sehingga sanggup ke luar negara untuk menyembuhkan penyakit zahir yang dideritai. Sikap tidak mahu berusaha dan tidak mahu mengambil tahu tentang penyakit hati boleh menyebabkan hati menjadi keras dan hitam untuk menerima petunjuk dan hidayah ILLAHI.

Rawatan Bagi Hati Yang Keras

Syeikh Muhammad bin Husain Ya’Qub pernah menulis dalam bukunya “Tragedi Alam Kubur”, 6 kaedah rawatan untuk hati yang keras menurut para ulama adalah seperti berikut:

1. Membaca al-Quran dan Zikrullah

Di dalam al-Quran ada menyebut, “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamtan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57). Dalam surah al-Israa’ ayat 82 pula ALLAH berfirman, “Dan KAMI turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” Hati yang tidak pernah membaca al-Quran akan mudah dipengaruhi oleh nafsu dan tipu daya syaitan dan akhirnya akan tertutup dari rahmatNYA.

2. Merendah Diri dan Menangis di Hadapan ALLAH

Pohonlah hanya kepada ALLAH dengan sikap dan perasaan yang selayaknya sebagai seorang hamba yang amat memerlukan dan bergantung harap kepadaNYA apabila menghadapi masalah atas kerosakan hati. Apabila merasa kesulitan, bolehlah ‘berpura-pura’ atau berusaha menangis jika itu akan mencapai tujuan mendekatkan diri kepadaNYA. Ana teringat akan kata-kata Ustaz Nurul Azri yang pernah mengajar ana semasa menengah rendah. Dia pernah memberitahu, kalau boleh, menangislah ketika memohon kepada ALLAH. Kalau tak mampu, ‘berpura-puralah’ menangis. Suatu masa dahulu, ana kehairanan mendengar kata-kata ustaz tersebut. Mana mungkin berpura-pura! Dewasa ini baru ana faham, rupa-rupanya yang beliau maksudkan ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangis dan menghinakan diri di hadapan ALLAH. Mengharap maghfirah daripadaNYA memerlukan hati yang suci dan ikhlas. Ingatlah betapa besar dosa kita yang akhirnya memisahkan kita dengan ALLAH S.W.T.

3. Menghadiri Majlis Ilmu

Bersatu dengan orang-orang soleh dan bersama-sama menghadiri majlis ilmu boleh melunakkan dan menyembuhkan hati. Hindari majlis-majlis yang lagha semata-mata. Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, nescaya ALLAH akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Dan tidaklah suatu kaum berkumpul dalam rumah ALLAH, mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya, kecuali akan diturunkan ketenangan kepada mereka dan akan diliputi oleh rahmat ALLAH, serta malaikat akan menaunginya. ALLAH akan sentiasa mengingati mereka yang di dalamnya.” (HR Muslim).

4. Mengingati Mati

Rasulullah S.A.W berwasiat kepada para sahabat untuk mengingati mati. Dari Ubay bin Ka’ab r.a, berkata: “Ketika masuk sepertiga malam, Rasulullah S.A.W bangun dan berkata: “Wahai manusia ingatlah ALLAH, ingatlah ALLAH. Telah datang tiupan pertama sangkakala yang menghancurkan alam, diikuti tiupan kedua. Telah datang kematian dengan (segenap kengerian) yang dibawanya.”” (HR Tirmidzi). ‘Dzikrul maut’ dapat mencegah perbuatan maksiat, melunakkan hati dan menghilangkan rasa cinta kepada dunia yang menjadi faktor perlakuan maksiat.

5. Menyaksikan Sakaratul Maut

Dari Anas r.a, berkata: “Nabi S.A.W mendatangi seorang pemuda yang sedang nazak. Baginda bertanya: “Bagaimana keadaanmu?”. Pemuda itu menjawab, “Demi ALLAH wahai Rasulullah, aku sangat mengharap ALLAH dan aku takut atas dosa-dosaku.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tidak akan bertemu keduanya (rasa harap kepada ALLAH dan takut atas dosa) dalam hati seorang hamba pada saat-saat seperti ini (sakaratul maut), kecuali ALLAH akan mengabulkan apa yang dia harapkan dan melindunginya dari apa saja yang membuatnya takut.”” (HR Tirmidzi). Kesusahan dan kengerian saat menghadapi sakaratul maut akan menyedarkan kita untuk kembali ke jalanNYA.

6. Ziarah Kubur

Setelah melakukan kelima-lima perkara di atas, hati kita masih juga keras kerana telah berkarat dan tertutup dari cahaya oleh dosa-dosa yang menggunung, maka ziarahilah kubur. Itulah penawar mujarab bagi mengubati hati yang telah hitam. Rasulullah S.A.W bersabda: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkan kamu kepada kematian/akhirat.” (HR Muslim & al-Hakim). Lakukan dengan hati yang ikhlas dan niat yang tulus semata-mata mengharap rahmat ALLAH dan untuk mengambil iktibar daripadanya, nescaya hati yang keras dapat disembuhkan.

Keenam-enam cara di atas diusulkan oleh para ulama silam sebagai panduan buat kita menghadapi cabaran Islam di akhir zaman.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails