Tuesday, October 13, 2015

HAFAZAN NEURONADI AL BAGHDADI






Pertama kali menyertai kelas hafazan neuro nadi al baghdadi di Seksyen 7, Bangi Selangor memang sangat memeningkan. Tidak langsung faham akan konsep hafazan yang menekankan fungsi neurofisiologi tersebut. Namun, alah bisa tegal biasa. Sesuatu perkara yang dianggap susah dan mustahil pada awalnya, akhirnya memberikan kemanisan yang tidak terhingga. Benarlah sesungguhnya Al-Quran itu mukjizat dan sesungguhnya tiada suatu yang mustahil pun bagi Allah.

Menghafaz al-Quran memang memerlukan  ingatan yang cukup kuat dan pastinya sangat berkait rapat dengan fungsi otak. Melalui kaedah hafazan neuronadi al baghdadi ini, kaedah hafazannya sangat unik iaitu menghafaz sambil mengingat nombor ayat. Ayat tersebut juga boleh dibaca secara terbalik, mengenal pasti ayat ganjil dan ayat genap serta guru akan menyebut nombor ayat sahaja. Proses hafazan ini dimulakan dengan juzuk 30 Surah An-Naba'.

Secara umumnya keupayaan otak manusia memproses dan mengingat maklumat ialah sebanyak 125 500 000 000 000. Namun, selama ini kita tidak memanfaatkan dan memaksimumkan penggunaan otak kita. Melalui kaedah ini kita akan mengoptimakan penggunaan otak kiri dan kanan dengan mengaktifkan secara sedar kedua-dua otak tersebut khususnya otak kanan. Selama ini kita menghafal dan mengingat dengan menggunakan otak kiri, namun kita tidak sedar atau tidak mengendahkan keupayaan otak kanan. Sedangkan untuk menghafaz aras tinggi, kita perlu memaksimumkan penggunaannya dalam sedar.

Ilmu neurofisiologi ini merupakan ilmu yang berkaitan fungsi otak dan sistem saraf. Sistem saraf otak memiliki berjuta-juta sel neuron yang strukturnya berangkai dan sel ini disokong oleh ribuan dendrit yang menghasilkan rangsangan maklumat. Uniknya hafazan al baghdadi ini dengan mengingat nombor ayat iaitu pada masa yang sama memaksimumkan fungsi keupayaan otak. Fungsi otak boleh dilihat dalam gambar rajah di atas. Fungsi otak kiri ialah mengenalpasti maklumat nadi dan membaca dalam susunan secara berurutan. Namun otak kanan melengkapkan penggunaan otak kiri iaitu dengan melihat ayat secara holistik dan imaginasi untuk mengingat nombor dan kedudukan ayat (Lihat gambar rajah utk lebih jelas peranan otak). Kita terlalu sombong dengan fungsi otak kanan kita selama ini, sedangkan fungsi otak kanan lebih luas atau holistik. Oleh itu, jangan sia-siakan otak yang Allah jadikan yang sememangnya sangat unik dan ajaib untuk difikirkan kejadiannya.

Antara langkah-langkah yang perlu diikuti untuk teknik ini:

Teknik hafazan nadi albaghdadi.
1. Guru membaca tiga kali, pelajar mendengar dan lihat bahan (fokus bahan)
2. Guru membaca tiga kali dan pelajar mengikut ayat yang dibacakan bahan ( lihat dan rujuk bahan )
3. Guru mengarahkan kumpulan demi kumpulan membaca ( dengan merujuk dan melihat bahan)
- Jadi proses membaca, mendengar dan melihat bahan berlaku lebih sepuluh kali. Melihat bahan sangat dipentingkan ketika ini. Pelajar perlu fokus kepada bahan dengan lihat teliti.

4. Guru mengarahkan kumpulan demi kumpulan membaca tanpa lihat bahan. Proses ini bergantung kepada kreativiti guru supaya pelajar tidak bosan. Guru boleh mengarahkan bacaan secara giliran sama ada kumpulan, jantina atau sebagainya. Pada masa ini pelajar tidak melihat bahan dan mereka dapat menghafal ayat tersebut. Proses mengulang merupakan antara proses hafazan yang perlu dilaksanakan.

 5. Setelah menghafaz beberapa ayat melalui kaedah di atas, pelajar dapat mengenalpasti nombor ayat dan 7 langkah di bawah perlu diikuti.

- baca ayat ikut turutan
- Undur bacaan ayat
-Baca ayat ganjil
-Undur baca ayat ganjil
- Baca ayat genap
-Undur baca ayat genap
-Guru tebuk dengan menyebut nombor ayat. Pelajar fokus dengan kedudukan ayat. Ini berkait rapat dengan fungsi otak kanan.

5. Pengukuhan ayat dalam kumpulan ( Rakan Nadi ). Salah satu cara untuk mengingat ialah dengan bantuan rakan nadi. Dengan mengikut turutan langkah 7 tersebut, rakan nadi saling bekerjasama dengan tujuan mengukuhkan ingatan masing-masing. Caranya ialah memperdengarkan bacaan masing-masing dengan langkah 7 tersebut.

Oleh itu, dengan kerajinan dan istiqomah yang kukuh dan jitu, tidak mustahil kita akan dapat menghafaz al-Quran melalui teknik yang unik tersebut. Tanamkan tekad untuk menghafaz Al-Quran kerana menghafaz itu banyak kelebihannya. Siapa yang tidak mahu menjadi VVIP Allah??? Nikmat yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.  Penulis sebenarnya masih lagi merangkak dalam dunia hafazan ini.

Di samping penulis belajar menghafaz al-Quran, Allah memberi peluang untuk penulis mengajar  menghafaz dengan menggunakan kaedah ini. Melalui kursus perunding yang diambil bagi melayakkan untuk mengajar kaedah ini, rentetan itu penulis juga memohon tauliah daripada pihak Al Baghdadi untuk melayakkan mengajar hafazan, begitu juga dengan bengkel pemantapan yang dihadiri untuk terus meyakinkan diri ini untuk mengajar walaupun dirasakan diri ini sangat kerdil.

 Apa-apa pun sentiasa berdoa supaya kita terpilih sebagai VVIP Allah ini dan semoga kita sentiasa bermotivasi dan istiqomah dalam menghafaz al-Quran. Mohon doa dari pembaca agar memudahkan perjalanan diri ini untuk menghafaz dan mengajar al-Quran. Amin. Semoga Allah merahmati kita semua. Insya Allah...


4 comments:

  1. Menghafaz al-Quran akan menceriakan hidup sewaktu tua

    ReplyDelete
  2. cmne cara permohonan untuk belajar dlm program ini

    ReplyDelete
  3. Saya seorang jurutera yang banyak bermain dengan angka dan logik akal. Memamg agak sukar bagi saya untuk menghafal dan juga untuk menggunakan imaginasi. Otak kanan memang jarang2 digunakan.

    Saya rasa terpanggil untuk mendalami ilmu ini untuk memaksimumkan fungsi otak kanan. Khususnya untuk menghafal surah-surah al quran.

    Alangkah manisnya apabila dapat menghafal al quran dan saya dapat membacanya pada bila-bila masa walaupun ketika sedang memandu.

    Insya Allah...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails