Tuesday, December 20, 2011

DEBARAN 3 JANUARI 2012




Pengalaman permohonan bagi menyambung pelajaran di peringkat master ( sarjana ) pendidikan di bawah tajaan Kementerian Pendidikan untuk sesi kemasukan 2012 merupakan suatu perkara yang benar-benar menjadikan diri tidak lena malam. Semakan panggilan temuduga di laman web KPM tertera Tahniah anda berjaya. Daripada 6 orang sahabat di sekolah yang sama memohon, hanya diriku dan seorang sahabat yang bernama Khairul.

Sebelum memohon, berhempas pulas menyiapkan proposal sebagai syarat untuk memohon. Dengan tajuk Nilai Cintakan Alam Sekitar dalam kalangan pelajar geografi menengah rendah, bagi menghadapi temuduga ini yang dirasakan seperti hendak terjun ke dalam api, aku berusaha untuk melengkapkan proposal tersebut.

Memang tarikh 3 Jan 2012 itu walaupun dalam tempoh dua minggu lagi, tetapi bahang temuduga tersebut telah dapat aku rasakan.Risau memikirkan temuduga, soalan2 yang ditanya, tetapi yang pasti kena berhujah dan mempertahankan proposal yang dihasilkan. Aku tahu aku merupakan seorang yang tidak kuat berhujah, risau sekali adakah aku mampu menghadapi keadaan itu. Tetapi aku akan hasilkan dan lakukan yang terbaik. Cuma, seperti permohonan temuduga juga, aku tidak mahu terlalu berharap kerana sesungguhnya Allah itu Maha Perancang yang terbaik. Segala-galanya ku berserah pada-Nya.

Cuma di kala ini, di saat hendak menghadapi temuduga HLP 2012 ini, dalam kepala turut ligat memikirkan kerja-kerja sekolah yang belum dibereskan. Minit mesyuarat PIBG, rancangan pengajaran geografi Ting 4 yang belum siap, Rancangan BM Tingkatan 2 yang juga belum siap, di samping esok Rabu 21 Dis Taklimat SBPA, dan kerja2 sukarela selaku fasilitator Kem Al-quran yang akan berakhir pada 22 Dis, juga novel yang terbengkalai genap setahun, begitu juga artikel-artikel yang tertangguh penulisannya dirasakan sangat memberatkan kepalaku ketika ini.

Kerja sekolah itu InsyaAllah akan dilangsaikan, tetapi dalam kepala ini sangat risau memikirkan temuduga. Kali terakhir temuduga tahun 2002 semasa temuduga SPP untuk pengesahan perlantikan, selepas itu tiada lagi temuduga yang dihadiri sehingga kini genap 10 tahun perkhidmatan pada 1 September yang lalu.

Apa-apa pun berserah dan bertawakal setelah berusaha. Semoga Allah memberi peluang kepada diriku untuk belajar dan InsyaAllah jika diberi kesempatan oleh Allah ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD. Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan kepadaku dan dapat atau tidak itu adalah urusan-Nya kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Semoga semua ini tidak menghalang perjalanan dan urusanku untuk belajar di UIA dan UM dan semoga Allah terus memberiku ilmu-Nya untuk disebarkan kepada orang lain. Tidak lupa juga bertanyakan kepada Prof Madya Dr Wan Masri seorang pengamal Asma ul Husna, berbicara dengan hati apabila menyebut nama Allah.sesungguhnya dia maha mendengar.

Ya Rahman, Ya Rohim, Ya Wahab, Ya Karim, Ya Rozaq, Ya A'lim, Ya Fatah, YaQohhar, Ya Latif, Ya Malik sambil berdoa untuk dipermudahkan. Semoga Allah memudahkan urusanku dan urusan sahabat-sahabat lain.InsyaAllah....

Tuesday, December 6, 2011

INDAHNYA KALAM-MU




Kali pertama menghadiri Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan pada 19 dan 20 November yang lalu bertempat di UIA Gombak yang turut dihadiri seramai 500 peserta benar-benar telah berjaya membuka hati dan jiwa ini supaya mempelajari Qiraat itu dengan lebih serius.

Sesungguhnya seminar ini adalah suatu pemangkin, suatu pencetus, suatu peningkat semangat bagi mempelajari suatu ilmu dalam Al-Quran yang semakin berkembang ini. Benarlah, betapa luasnya ilmu Kalam Allah ini. Pertama kali diperdengarkan bacaan 10 qiraat dalam Surah Al-Fatihah dan beberapa surah yang lain, hati terpegun, terkesima sewaktu mendengar Kalam-Nya. Betapa indah apabila dibacakan dalam pelbagai bacaan. Shahdu dan sayunya hati sewaktu mendengar ayat-ayat itu dibacakan. Sebak memenuhi seluruh ruang jiwa. Betapa kelalaian selama ini menguasai diri dan seluruh jiwa.

Benarlah Al-Quran itu mukjizat, Nur-Nya yang semakin mencengkam di jiwa meminta sesuatu ilmu yang benar-benar ingin dipelajari. Sesungguhnya Ya Allah, bimbinglah dan bantulah hamba-Mu ini untuk mempelajari Kalam-Mu. Golongkanlah kami dalam golongan yang sentiasa memperjuangkan Kalam-Mu sehingga akhir hayat kami.

Kalam-Mu itulah yang menyatukan hati dan jiwa kami. Kalam-Mu jua yang membentuk akhlak dan peribadi kami. Sesungguhnya kami benar-benar merindui dan mencintai Kalam-Mu.Bukakanlah jalan seluas-luasnya bagi kami mempelajari ilmu-Mu dan mengajarkannya.

InsyaAllah dengan masa yang ada, dengan tenaga yang ada, dengan kesihatan yang diberikan, dengan rezeki yang dikurniainya, akan kami pahatkan dalam hati dan jiwa kami, ilmu-Mu ini akan kami pelajari dan sebarkan. Kabulkan doa kami Ya Rabb.

Ayat-ayat-Mu sangat indah....Tiada yang lebih indah selain Kalam-Mu.Akhirilah hidup kami dengan memperjuangkan Kalam-Mu....Amin...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails