Sunday, July 24, 2011

MUSLIMAH...MALUMU SEUMPAMA MALUNYA SI POHON SEMALU...




Apabila disebut perkataan muslimah, akan segera terbayang dalam lubuk sanubari bahawa muslimah itu adalah seorang wanita bertudung labuh dan bersopan santun. Seorang gadis pemalu yang kaya dengan iman dan jiwa yang kukuh. Seorang gadis yang pandangannya selalu tunduk terhadap perkara yang tidak sepatutnya dilihat, seorang yang bijaksana, tutur katanya yang sopan dan tingkah-lakunya yang pasti akan mengundang pandangan mulia oleh orang lain. Terlalu lengkap rasanya untuk dinilai bagaimana muslimah itu. Bergetar rasa jiwa penulis sendiri apabila menghuraikan siapa itu wanita muslimah. Kalimah yang terlalu mulia dan adakah diri penulis sendiri tergolong dalam golongan muslimah itu sendiri. Sedikit catatan tentang kisah Rasulullah SAW bersama anaknya Fatimah r.a yang boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk diri berusaha menjadi seorang muslimah solehah...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Sayyidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah saw dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah saw menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Pohon semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Pohon semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul A’lamin.

Pohon semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

- Ambillah pengajaran wahai muslimah solehah...malumu seumpama malunya si pohon semalu...Semoga diriku dan wanita-wanita diluar sana tergolong sebagai muslimah solehah. Berusahalah kita menjadi wanita solehah yang diredhai dan dirahmati Allah sentiasa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails