Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!"(Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Sunday, July 24, 2011
ALLAH SEMBUNYIKAN BEBERAPA PERKARA ATAS BEBERAPA PERKARA
Terdapat beberapa perkara yang Allah sembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya. Perkongsian ilmu yang didapati daripada kuliah Ustaz Rujhan Razali di Masjid Tengku Abu Bakar baru-baru ini. Sesungguhnya janganlah kita memandang enteng atas sesuatu perkara walaupun kecil.
Allah menyembunyikan redhanya dalam setiap amal yang baik, jadi jangan pandang kecil terhadap sebarang jenis kebaikan walaupun kecil.
Allah menyembunyikan murkanya dalam setiap maksiat, jadi jangan pandang kecil terhadap maksiat atau kemungkaran yang dibuat walaupun kecil.
Allah menyembunyikan para kekasihnya dalam setiap manusia, jadi jangan pandang kecil terhadap setiap manusia walaupun amalannya kelihatan kecil.
Penulis sendiri pernah terbaca suatu kalimah yang membawa pengajaran kepada diri penulis sendiri. Tidak pasti daripada mana sumbernya iaitu kadang-kala manusia yang kita lihat pada pandangan mata kita adalah ahli syurga, tetapi sebenarnya adalah ahli neraka. Begitu juga dengan manusia yang kita lihat adalah ahli neraka, tetapi sebenarnya adalah ahli syurga. Sesungguhnya kita memang tidak diberi kelebihan untuk menilai manusia itu bagaimana dalaman hatinya. Penulis sering memperingatkan diri sendiri bahawa jangan sesekali kita memandang remeh akan amalan yang dilakukan oleh orang lain walaupun kecil. Begitu juga jangan sesekali kita memandang rendah terhadap manusia yang sedikit amalannya, kerana mana tahu pada suatu hari nanti dia akan menjadi lebih baik daripada kita. Begitu juga dengan orang kafir. Jangan sesekali kita mengatakan golongan itu pasti akan masuk ke neraka kerana mana tahu pada masa akan datang dia diberi hidayah oleh Allah dan menjadi manusia yang sangat baik imannya berbanding kita.Sesungguhnya keikhlasan itu tidak dapat diukur oleh pandangan manusia. Hanya Allah sahaja yang dapat menilainya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa ikhlas.Pokok pangkalnya hati. Jagalah hati...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment