Friday, May 27, 2011

MERAIKAN KEJAYAAN AHLI QURAN


28 Mei 2011 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1432H merupakan tarikh keramat kerana tarikh ini merupakan tarikh yang sangat dinanti-nantikan dengan penuh debaran setelah hampir sebulan gerak kerja berjalan. MAJLIS PENGANUGERAHAN SIJIL DAN APRESIASI KEGEMILANGAN AL-QURAN merupakan majlis yang dianjurkan bagi meraikan ahli-ahli Quran yang telah berjaya menamatkan Pengajian Tajwid di Universiti Islam Antarabangsa.

Debaran demi debaran dan kini esok merupakan tarikh yang paling bersejarah dalam hidup penulis. Biarkan sebelum ini penulis pernah mengikuti sebanyak dua konvokesyen yang besar semasa ijazah dan diploma pendidikan, tetapi majlis ini sebenarnya lain daripada yang lain. Jauh dalam sudut hati penulis terasa sungguh sayu dan syahdu kerana masih diberi peluang menuntut ilmu Al-Quran oleh Allah meskipun diri penulis sentiasa beranggapan agak lewat, namun anugerah-Nya kepada hamba-Nya tiada siapa yang tahu.

Saban hari penulis berdoa supaya dikurniakan ilmu Al-Quran yang luas supaya dapat menjadi hamba yang diredhai dan dirahmati. Dan sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Dia tahu hamba-Nya ini sangat lemah dan sangat bergantung kepada-Nya, ilmu Al-Quran walaupun hanya sedikit sahaja diberi, tetapi sangat bermakna dalam hidup. Al-Quran itu sememangnya mukjizat yang sangat hebat. Hati yang keras seperti batu lama kelamaan akan lembut jika setiap hari disirami dengan kalimah Al-Quran.

Indahnya Qalam Allah itu bagi mereka yang mengetahui. Betapa beruntungnya mereka yang dipilih oleh Allah untuk menjulang kesyumulan Al-Quran. Jutaan terima kasih kepada insan-insan yang bekerjasama dalam menjayakan majlis ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Semoga Al-Quran akan terus bertakhta dalam jiwa dan sanubari kita. Jutaan terima kasih yang tidak dapat diungkapkan kepada guru-guru Al-Quranku yang menjadikan mata hatiku celik, Ustaz Zulkhairi M.Fadzlillah, Ustazah Hajah Siti Zainab, Ustazah Zainon, Ustazah Hamidah dan Ustazah Aminah, terima kasih dengan ilmu yang dicurahkan.

Perancangan Allah itu Maha Hebat. Tidak pasti sekiranya hati penulis ini tidak dibukakan oleh Allah untuk mempelajari Al-Quran, adakah penulis akan menjadi manusia atau sebaliknya. Syukur Ya Allah dengan nikmat-Mu. Jadikanlah diri ini ahli Al-Quran yang sentiasa menjadikan Al-Quran itu sebahagian hidup di dunia ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails