Sunday, May 22, 2011

APABILA ALAM MENGAMUK-FIKIRLAH DENGAN MATA HATI





Tragedi yang melanda Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat sangat menyedihkan, menghibakan dan mengejutkan pelbagai pihak. Masakan tidak, setelah sekian lama negara tidak dihidangkan dengan berita kematian yang diakibatkan oleh tanah runtuh, namun hari ini takdir telah mengatasi segala-galanya. Namun, yang sangat menghibakan adalah tragedi tersebut menimpa anak-anak yatim yang sepatutnya mendapat perlindungan daripada pelbagai pihak. Sehingga artikel ini ditulis jumlah kematian adalah seramai 16 orang dan 9 orang telah berjaya diselamatkan.

Agak termenung dan terkilan juga penulis apabila menerima berita sedemikian rupa. Sedih yang tidak dapat tertahan apabila melihat proses menyelamatkan mangsa dan melihat mangsa yang menjadi korban alam. Apatah lagi melihat kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa yang menjadi mangsanya. Segalanya telah menjadi suratan, apa yang ditakdirkan oleh Allah telah berlaku. Segala-galanya berlaku dengan pantas dan bergantung kepada manusia untuk mengambil pengajaran atas peristiwa yang telah berlaku.

Namun begitu, penulis sangat pasti bahawa, selepas ini akan ada pelbagai pihak yang akan bersuara perihal pembangunan yang dijalankan di lereng bukit. Negara kita sebelum ini pernah dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang turut mengorbankan beberapa jiwa. Pelbagai pihak telah bersuara bercerita perihal bahayanya pembangunan di lereng bukit. Tahap ketinggian cerun juga telah ditetapkan sehingga pembangunan tidak boleh melebihi cerun 45 darjah. Namun selepas itu, hal-hal yang diperbesarkan pada ketika itu sepi setelah negara tidak lagi berlaku kejadian sedemikan rupa. Kenapa setiap kali selepas berlaku tragedi, baru hendak bersuara tetapi tidak ada tindakan dan penguatkuasaan yang dijalankan. Adakah sesetengah pihak yang terlibat hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Tidakkah mereka menyelami dan mentadabbur isi kandungan Al-Quran yang bermaksud,

Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak? ( Surah An-Naba’: 6-7).

Sesungguhnya manusia itu memang memerlukan alam dalam hidupnya. Namun demikian, apabila alam telah diteroka dan diceroboh secara berleluasa oleh tangan-tangan manusia yang membinasakan, alam itu tidak lagi menurut kehendak manusia,malah alam itu menjadikan manusia sebagai mangsanya. Bukannya hanya kematian seorang manusia, tetapi kadang-kala membabitkan sehingga kematian beramai-ramai manusia yang tidak bersalah. Alam itu tidak bersalah, tetapi manusia yang menceroboh itu yang bersalah. Mangsa-mangsa itu tidak bersalah, sesungguhnya mereka tidak mengerti. Mereka hanya inginkan perlindungan di situ.

Wahai manusia fikirlah dengan mata hati. Segala yang telah ditakdirkan itu telah berlaku akhirnya. Janganlah kita menjadi manusia yang hanya tahu bercakap semata-mata, tetapi tiada tindakan yang kita lakukan. Janganlah kita hanya tahu mengaut keuntungan semata-mata, tetapi kita tidak kisah perihal keselamatan orang lain. Ambillah pengajaran dan iktibar dengan peristiwa yang terjadi ini. Segeralah kita kembali kepada Allah Yang Maha berkuasa, musibah yang diturunkan kepada manusia itu sebenarnya meminta supaya manusia itu berfikir dengan mata hati. Segala yang ditakdirkan oleh Allah itu sebenarnya tidak sia-sia. Sesungguhnya ujian dan musibah itu tanda cinta Allah dan sayangnya kepada kita. Al-fatihah untuk mangsa-mangsa yang terkorban, semoga digolongkan dalam golongan orang yang beriman. Juga kepada mangsa yang masih hidup, teruskanlah kehidupan anda, semoga anda memperoleh ketabahan dan semangan juang yang tinggi. Semoga para dermawan yang mencintai Allah akan membantu mereka. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails