Thursday, March 10, 2011

UNTAIAN CINTA SEORANG MURABBI


Situasi di sekolah harian biasa era globalisasi kini...

" Ahmad, kenapa sejak akhir-akhir suka tidur di dalam kelas"? Tanya Ustazah Lida. Sudah kerap-kali dilihatnya Ahmad sering sahaja mengantuk dan matanya kelihatan kemerah-merahan apabila ditanya. Bukan hanya Ahmad sahaja, malah hampir semua pelajar Islam termasuk perempuan bersikap sedemikian. Baik dari pagi dia masuk ke kelas ataupun ketika waktu tengahari, situasinya tetap sama. Rata-rata pelajar Islam itu lemah dan tidak bermaya. “ Kamu solat Subuh atau tidak pagi tadi”, tanya Ustazah Lida lagi. Tidak puas hatinya melihat remaja yang dilahirkan dalam Islam itu memandang enteng tentang solat. Bagi mereka sudah tiada sebarang benteng bagi melindungi mereka daripada sebarang perkara kemungkaran. “ Tidak ustazah, malam tadi balik pukul 3.00 pagi”, jelas Ahmad tanpa perasaan malu. Jelas, tahap malu remaja Islam ini semakin hilang kini. “ Kamu pergi ke mana? Ibu bapa kamu tidak risau tentang kamu?” Ujar Ustazah Lida lagi. “ Kami pergi berseronok ustazah, ibu dan bapa kami tidak marah pun kepada kami apabila kami keluar malam”, jawab Ahmad lagi tanpa ditanya.

Perkara itulah yang sangat dibimbangi oleh para pendidik. Apabila pelajar semakin meningkat remaja, mereka mencari suatu keseronokan bagi menghilangkan segala bebanan fikiran. Namun, keseronokan itu telah membawa kehancuran kepada hidup mereka. Keseronokan yang dipilih hanya kemungkaran semata-mata. Betapa kasihannya dia melihat remaja Islam. Jiwa yang kosong dengan iman yang tipis terus menjadikan mereka hanyut dengan arus kemodenan dan keterbukaan era ini.

Situasi inilah yang dihadapi oleh kebanyakan guru kini. Guru hanya sebagai pendidik di sekolah, namun di rumah pendidikan diberikan oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Jika pincang pendidikan keluarga, maka akan pincanglah remaja itu. Akan mudahlah dia terjerumus ke dalam anasir negatif yang semakin berleluasa di zaman ini. Belum lagi ditanya tentang solat, majoritinya akan menjawab tidak solat. Kenapa? Jawapannya mudah sahaja, kerana ibu bapa mereka tidak bersolat. Aduh! Kasihan mereka. Begitu mudahnya mereka memberi jawapan tanpa sebarang perasaan bersalah?Adakah ibu bapa ini tidak tahu betapa pentingnya solat dalam mendidik jiwa dan peribadi anak-anak? Tidak tahukah mereka dengan peringatan Allah di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud,

“ Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk neraka Saqar ini? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk golongan orang-orang yang bersembahyang." ( Al-Mudathsir:42-43) .

Tidak gentarkah mereka dengan bahang dan kepanasan api neraka itu? Ataupun adakah mereka tidak mengetahui bahawa setiap amalan yang dikerjakan itu tidak akan diterima oleh Allah jika mereka tidak solat? Belum lagi mereka ditanya tentang bab Al-Quran. Jawapannya sangat mengecewakan. Bagaimana mereka ingin memperoleh akhlak gemilang, jika roh mereka tidak diberi makanan rohani? Bagaimana mereka ingin memperoleh ilmu yang mantap, jika di dalam kelas mereka tiada tumpuan dan berkhayal semata-mata? Bagaimana mereka ingin menjadi umat Islam gemilang, jika mereka tidak menjadikan agama sebagai tunjang hidup?

Ya Allah, kami mohon kepada-Mu Ya Allah bantulah kami untuk mendidik dan membimbing pelajar kami ke jalan-Mu. Sesungguhnya kami lemah dan tidak berdaya Ya Allah. Kami benar-benar mengharapkan pertolongan-Mu.Kurniakanlah kami kesabaran dan kekuatan Ya Allah, dalam menjadikan agama-Mu sebagai cara hidup mereka. Kabulkanlah pengharapan kami ini Ya Allah.Hanya kepada-Mu kami kembali.

Wahai anak didik kami,
“ Sesungguhnya kami ini gurumu, kami sentiasa menganggap kamu seperti anak-anak kami, adik-adik kami dan saudara-saudara kami. Berusahalah mengubah dan memuhasabah dirimu.Solatlah wahai anak-anak. Sesungguhnya solat itu mencegah dirimu daripada melakukan perkara mungkar. Tuntutlah ilmu dengan tekun wahai anak-anak. Sesungguhnya ilmu itu akan membentengi dirimu kelak dari unsur-unsur negatif. Ilmu itu akan menjadikan dirimu gemilang di dunia, gemilang di akhirat. Berusahalah anak-anak, kelak kamu pasti berjaya. Bersainglah anak-anak dengan bangsa asing, kelak kamu pasti disegani sebagai umat Islam yang berilmu. Sesungguhnya kami gurumu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripadamu. Cukuplah bagi kami kamu mempunyai berakhlak terpuji dan berilmu. Jadikanlah agama sebagai teras hidupmu anak-anak. Kelak, kamu akan mengetahui manisnya iman itu. Janganlah kamu menganggap kemarahan kami itu hanya untuk memalukan dirimu.Tidak sama sekali anak-anak! Kami benar-benar menyayangi dirimu.Kami tidak mahu kamu hanyut dengan keseronokan dunia. Insaflah wahai anak-anak. Jangan sia-siakan usia mudamu.Ingatlah hadis Rasulullah SAW tentang lima perkara itu. Masa muda sebelum tuamu, masa lapang sebelum masa sibukmu, masa kaya sebelum miskin, masa sihat sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum matimu. Ingatlah wahai anak-anak didik kami,kami tahu kami bukannya manusia yang sempurna. Namun sebagai seorang guru, sudah menjadi tanggungjawab kami membawa kamu ke jalan lurus, jalan yang diredhai Allah. Doa kami akan sentiasa bersama kamu anak-anak. Doa kami ingin melihat kamu berjaya di dunia dan di akhirat. Itulah sebenarnya kepuasan dalam diri kami seorang guru. Semoga kamu gemilang di dunia dan gemilang di akhirat wahai anak didik kami.

Sesungguhnya kami benar-benar menyayangimu...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails