Friday, March 11, 2011

TSUNAMI-FIKIR DENGAN MATA HATI



Tsunami.. setiap manusia pasti gerun apabila mendengarnya. Masakan tidak, tsunami sering dikaitkan dengan kemusnahan besar-besaran sama ada melibatkan kematian manusia mahupun kehilangan harta benda. Mengingati tsunami pada 24 Disember 2004, yang impaknya turut dirasai di Malaysia amat meruntun perasaan. Kehilangan ahli keluarga tersayang, kehilangan harta benda di mana impaknya dirasai bertahun-tahun lamanya, tentu amat sukar sekali untuk dipadamkan memori itu. Emosi yang terganggu kesan daripada tsunami tersebut masih dirasai sehingga kini. Betapa sukarnya mereka melalui saat-saat yang memedihkan dan memeritkan itu. Betapa ramainya manusia terkorban terutamanya di Acheh yang menjadi pusat gempa pada tarikh tersebut. Hasil daripada gempa bumi dasar laut tersebut, telah mengakibatkan kewujudan tsunami yang telah memusnahkan dan mengakibatkan kematian manusia secara beramai-ramai yang sangat tidak dijangkakan di beberapa buah negara.

Namun kali ini, tsunami datang lagi. Kali ini bukan di Indonesia yang sering kali dikaitkan dengan negara yang kaya dengan gempa bumi dan gunung berapi, tetapi di Jepun. Jepun yang kedudukan geografinya juga terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, membawa maksud bahawa negara tersebut akan kerap dilanda gempa bumi dan gunung berapi. Begitulah qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh-Nya. Jepun telah dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa. Kemusnahan dan kematian semakin jelas kelihatan. Sehingga hari ini 12 Mac 2011, polis Jepun menyatakan bahawa antara 200 hingga 300 mayat telah dijumpai di bandar Sendai yang terletak di bahagian timur laut Jepun.

Gempa bumi ini ini dikatakan sebagai gempa yang paling kuat melanda Jepun dalam sekurang-kurangnya 100 tahun. Kawasan yang terletak di dalam negeri Miyagi itu terletak yang paling hampir dengan pusat gempa. Tidak dapat dipastikan berapakah angka kematian atau kemusnahan,yang pastinya tsunami yang memusnahkan ini pasti akan mengakibatkan kematian di luar jangkauan manusia. Tsunami yang berlaku pasti memberi impak kepada ekonomi dunia. Namun di sebalik kejadian tsunami tersebut, tidakkah manusia itu terfikir bahawa segala kejadian tersebut merupakan kesan daripada tangan manusia yang merosakkan? Jangan hanya kerana selepas berlaku tsunami, baru kita terfikir untuk melestarikan alam. Jangan hanya kerana selepas berlaku tsunami , baru kita terfikir untuk mencegah. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Tarikh tersebut merupakan tarikh keramat bagi penduduk Jepun. Pasti tarikh tersebut akan terpahat kukuh dalam memori hidup mereka. Sesuatu yang tidak sama sekali dijangkakan telah berlaku. Namun, siapalah kita untuk menolak ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Siapalah kita untuk menghalang kuasa alam yang begitu hebat sekali. Sesungguhnya kuasa Allah yang Maha Hebat tidak akan ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Jepun walaupun dikatakan sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi, yang dikatakan membina bangunan dan jalan raya canggih yang hebat, namun tetap juga tewas kepada kuasa Allah. Bangunan dan jalan raya yang dikatakan teguh dan terlindung daripada ancaman gempa bumi dan gunung berapi. Namun, teknologi manusia tidak akan dapat mengatasi betapa hebatnya kuasa Allah. Begitulah dalam firmannya yang telah termaktub,

Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ' Jadilah engkau! '. Maka ia terus menjadi. ( Surah Yasin:82)

Ingatlah bahawa segala kemusnahan atau malapetaka yang menimpa pasti ada hikmahnya. Allah sebenarnya sedang bercakap dengan kita. Allah mahu kita kembali kepada-Nya. Marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita, walaupun tsunami itu melanda negara lain, tetapi kita perlu mengambil pengajaran kepada setiap bencana alam yang berlaku. Lihatlah dengan mata hati, betapa melangitnya dosa-dosa yang terlalu banyak kita telah lakukan. Adakah kita mahu kemusnahan datang melanda, baru kita hendak kembali kepada-Nya?Fikirlah wahai umat Islam, ambillah ibrah dengan kemusnahan yang telah berlaku. Allah mahu kita kembali kepada-Nya. Sesungguhnya tiada kuasa yang lebih hebat selain daripada kuasa Allah. Fikirlah dengan mata hati, Insya Allah kita akan dapat lihat kebesaran dan keagungan-Nya.Begitulah firman-Nya,

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
( Surah Yasin:83)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails