Monday, February 27, 2012

SETITIP SANTAPAN NURANI : KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012



Menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 pada 18 dan 19 Februari lalu yang bertempat di Dewan Merdeka PWTC memang sangat memberi kesan kepada hati dan jiwa ini. Sehingga ke hari ini,masih lagi terngiang-ngiang di telinga dan terkesan di jiwa hikmah-hikmah yang disampaikan oleh para asatizah yang hebat yang pasti menjadi kenangan terindah dalam hidup ini. Benarlah, perancangan Allah itu Maha Hebat. Betapa diri ini sudah lama sangat berharap untuk menadah ilmu secara berhadapan dengan para asatizah yang hebat ini, dan akhirnya telah dikabulkan oleh Allah.

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala apa yang terkandung dalam hati hamba-Nya yang lemah ini. Betapa syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana terpilih untuk menghadiri majlis ilmu ini bersama empat orang sahabat yang lain. Walaupun pada tarikh yang sama 18 Februari tersebut, mempunyai kursus 6 jam di sekolah sebagai Latihan Dalam Perkhidmatan ( LADAP), namun apabila diri ini memohon pelepasan daripada Pengetua, dengan izin Allah segalanya telah dipermudahkan. Begitu juga dengan perjalanan pergi dan balik, segala-galanya telah dipermudahkan oleh-Nya.

Benarlah, betapa indahnya ilmu Allah itu. Berada dalam persekitaran ilmu itu benar-benar mendamaikan dan menenangkan jiwa. Selama ini hanya mengetahui konsep WASATHIY ini secara umum, tetapi setelah menghadiri konvensyen ini, apabila konsep ini diaplikasikan dalam kehidupan, inilah sebenarnya kehidupan yang dicari-cari yang tujuannya hanya satu, semata-mata hanya untuk mencari redha dan cinta Ilahi. Penyampaian ilmu secara hikmah oleh para asatizah, banyak menjentik dan mengetuk pintu hati ini serta menjadikan diri ini tersedar dari terleka dan terlena selama ini.

Begitu juga berkesempatan mendengar sedikit tazkirah ringkas daripada Sham Kamikaze dan hikmah daripada Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe. Namun, sesuatu yang paling membanggakan adalah apabila guru Tafsir Al-Quranku, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim turut menjadi salah seorang pembentang yang hebat sepanjang konvensyen tersebut. Semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepadanya dalam menyebarkan ilmu Allah di muka bumi ini. Begitu juga para asatizah lain, pihak I Luv Islam sendiri, dan pengerusi majlis yang serba boleh, semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segalanya dalam menyebarkan ilmu Allah dalam marcapada yang menyaksikan kebangkitan umat Islam yang dahagakan ilmu.

Sebelum kaki meninggalkan PWTC ini, rasa sayu dan syahdu amat menguasai diri. Di sinilah ukhwah terjalin kerana kebanyakan peserta datang dari pelosok tanah air yang sanggup hadir demi ilmu Allah ini. Perkenalan singkat bersama adik-adik Sabahan dari Kolej Insaniah, Kedah juga menjadikan diri ini kagum kerana dengan jarak yang jauh mereka sanggup menghadirinya semata-mata kerana ilmu Allah. InsyaAllah jika diizinkan oleh-Nya, semoga diri ini terpilih untuk menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2013.

Sedikit perkongsian tentang RESOLUSI KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012 yang diedarkan kepada semua peserta yang disampaikan oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Dr Zahazan, Ustaz Zamri Mantop dan Akhi Imran Koyube ( Presiden I LUV ISLAM) sebagai moderator.

UMUM

Wasathiy yang dimaksudkan oleh konvensyen ini adalah sesuatu metod kefahaman ilmu dan pengamalan beragama yang paling adil dan terpilih bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan situasi semasa tertentu. Manhaj atau metod wasathiy amat perlu didokong oleh umat bagi memastikan kejituan dalam kefahaman ilmu Islam, mengurangkan pergeseran dalam kalangan sebahagian ulama dan umat Islam, merapatkan ukhwah serta membenihkan kasih sayang sesama muslim.

AQIDAH

Wasathiy dalam aqidah adalah aqidah ahli Sunnah Wal Jama’ah ( merangkumi salafiyah, asya’irah, maturidiah ) yang bersumber dari nas Al-Quran dan Hadis yang sahih sambil menyedari bahawa kefahaman teks Al-Quran dan Hadis boleh membawa kepada pembahagian ilmu aqidah kepada usul dan Furu’(cabang). Umat Islam diwajibkan bersatu di atas usul aqidah namun dibenarkan berbeza tafsiran dalam hal furu’. Dengan itu, konvensyen menekankan umat Islam agar mendalami ilmu usul aqidah dan mengurangkan perdebatan dalam hal ehwal cabang aqidah.

IBADAH

Wasathiyyah dalam ibadah merupakan tanggungjawab dan tugas asas umat Islam dalam kepelbagaian pensyariatan hukum hakam dengan memurnikan wawasan ukhrawi tanpa melupakan keperluan duniawi yang menjadi alat kebahagiaan di akhirat. Pelaksanaan ibadah meraikan keadaan dan kemampuan manusia dan perbezaan situasi mereka serta meraikan aspek-aspek kemudahan dan keringanan dalam pensyariatan. Persoalan bida’ah dalam ibadah terdedah kepada pelbagai tafsiran, justeru perlu diperhalusi pengertiannya dengan lebih teliti agar tidak dijadikan sebagai medium kafir-mengkafir dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Wasathiyyah dalam ibadah zakat merangkumi ketelusan pentadbiran, mengelakkan penyalahgunaan, kaedah pengagihan yang lebih efektif dan sebarang bentuk penyalahgunaan sumber demi kepentingan individu mahupun kumpulan tertentu.

Meraikan pandangan dari pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan serta mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam isu zakat. Bersifat lebih terbuka dalam menangani permasalahan dan keperluan asnaf serta memelihara maslahat muzakki.

DAKWAH

Wasathiy dalam dakwah adalah yang dilakukan secara berhikmah sambil meraikan kepelbagaian latar belakang mad’u, persekitaran dan kesesuaian teknik dakwah, menjinak hati serta tidak menghukum. Pun begitu, kandungan dakwah adalah sama iaitu membawa diri pendakwah sendiri dan masyarakat ( mad’u ) untuk hampir kepada Allah dan Rasul-Nya dengan mentaati syariah Islam. Juga disedari, dakwah kepada Islam memerlukan pendakwah dari pelbagai bangsa dan bukan pula bererti membawa mad’u kepada identiti bangsa dan kumpulan tertentu.

KEWANGAN DAN EKONOMI

Wasathiyy dalam ekonomi dan kewangan adalah menerima sistem dan matawang yang sedia ada sambil menegaskan usaha untuk memberi kefahaman kepada umat Islam berkenaan ilmu dan sistem muamalat Islam adalah menjadi keutamaan.

Konvensyen juga menegaskan sokongan terhadap usaha memantapkan muamalat Islam sama ada melalui sistem perbankan Islam kini atau pengenalan sistem matawang emas. Dengan menolak sebarang pendekatan meremehkan kedua-dua usaha tadi. Namun usaha penambahbaikan mesti diteruskan demi kemaslahatan umat Islam.

TURATH

Wasathiy dalam khazanah dan karya ulama silam adalah mengiktiraf kepentingannya dalam memahami nas syarak dan menjadi asas kepada perkembangan intelektual umat Islam kini. Juga ditegaskan ilmu alat bahasa Arab dan pemahaman terhadap terminologi khas, konteks karya tersebut dihasilkan adalah sangat penting dalam memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Juga disedari bahawa sebahagian kesimpulan yang terdapat di dalam khazanah silam berkemungkinan kurang menepati suasana, penemuan dan kajian semasa. Justeru, ia terbuka dan memerlukan kepada proses pembaharuan melalui ijtihad ulama kontemporari.

TAZKIYAH AN-NAFS

Mengiktiraf kepentingan penyucian jiwa bagi mencapai kemuliaan akhlak, ketinggian iman dan kejituan ibadah yang merupakan tuntutan besar di dalam diri setiap individu muslim. Juga, konvensyen menetapkan bahawa kaedah, jalan dan caranya mungkin berbeza antara satu dengan yang lain, namun yang terbaik adalah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

POLITIK

Konvensyen menekankan peri pentingnya politik di dalam Islam dengan tidak mengambil ruang ekstrem menjadikannya sebagai lapangan mengkafir,menyesat dan menzalimi sesama umat Islam. Juga menyeru umat Islam untuk berpegang kepada politik yang berpaksikan prinsip, hujah,moral dengan berlandaskan ukhwah. Persaingan sihat di dalam politik berdasarkan kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik adalah untuk kemashalatan umat berteraskan Maqosid Syariah tanpa menggadaikan nilai-nilai akhlak dalam Islam.

PENGAJIAN AL-QURAN

Al-Quran adalah kitab Allah yang wajib difahami sebagaimana kehendak Allah,menurut kemampuan akal manusia dengan bersandarkan sunnah Rasulullah, Athar para sahabat dan tafsir para ulama muktabar. Ilmu-ilmu yang merangkumi qiraat, tajwid, tafsir Al-Quran dan yang berkait dengan Al-Quran adalah satu disiplin ilmu tersusun yang mempunyai tuntutan tersendiri. Kelayakan ilmu dalam bidang ini sangat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam memahami nas Al-Quran.

Syukran dengan ilmu yang disampaikan oleh para asatizah yang hebat. Tidak akan dilupakan kenangan yang terindah ini. Bertemu secara berhadapan dengan Dr Zulkifli al-Bakri, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Dr Zahazan, Ustaz Izhar, Ustaz Abdullah Bukhari, Xifu Naser, IM Asyraf, Ustaz Nizam Kadir, Ustaz Syed Norhisham, Ustaz Ahmad Husni, Dr Maszlee Malik, Dr Khairuddin, Ustaz Fawwaz Fadzil, Dr Abdul Bassit, Dr Roslan Ahmad, Ustaz Subki, Ustaz Ramadan Fitri dan Ustaz Zamri Mantop.Semoga akan terpilih untuk menghadiri konvensyen fiqh 2013. InsyaAllah...


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails