Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!"(Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Friday, March 11, 2011
TSUNAMI-FIKIR DENGAN MATA HATI
Tsunami.. setiap manusia pasti gerun apabila mendengarnya. Masakan tidak, tsunami sering dikaitkan dengan kemusnahan besar-besaran sama ada melibatkan kematian manusia mahupun kehilangan harta benda. Mengingati tsunami pada 24 Disember 2004, yang impaknya turut dirasai di Malaysia amat meruntun perasaan. Kehilangan ahli keluarga tersayang, kehilangan harta benda di mana impaknya dirasai bertahun-tahun lamanya, tentu amat sukar sekali untuk dipadamkan memori itu. Emosi yang terganggu kesan daripada tsunami tersebut masih dirasai sehingga kini. Betapa sukarnya mereka melalui saat-saat yang memedihkan dan memeritkan itu. Betapa ramainya manusia terkorban terutamanya di Acheh yang menjadi pusat gempa pada tarikh tersebut. Hasil daripada gempa bumi dasar laut tersebut, telah mengakibatkan kewujudan tsunami yang telah memusnahkan dan mengakibatkan kematian manusia secara beramai-ramai yang sangat tidak dijangkakan di beberapa buah negara.
Namun kali ini, tsunami datang lagi. Kali ini bukan di Indonesia yang sering kali dikaitkan dengan negara yang kaya dengan gempa bumi dan gunung berapi, tetapi di Jepun. Jepun yang kedudukan geografinya juga terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, membawa maksud bahawa negara tersebut akan kerap dilanda gempa bumi dan gunung berapi. Begitulah qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh-Nya. Jepun telah dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa. Kemusnahan dan kematian semakin jelas kelihatan. Sehingga hari ini 12 Mac 2011, polis Jepun menyatakan bahawa antara 200 hingga 300 mayat telah dijumpai di bandar Sendai yang terletak di bahagian timur laut Jepun.
Gempa bumi ini ini dikatakan sebagai gempa yang paling kuat melanda Jepun dalam sekurang-kurangnya 100 tahun. Kawasan yang terletak di dalam negeri Miyagi itu terletak yang paling hampir dengan pusat gempa. Tidak dapat dipastikan berapakah angka kematian atau kemusnahan,yang pastinya tsunami yang memusnahkan ini pasti akan mengakibatkan kematian di luar jangkauan manusia. Tsunami yang berlaku pasti memberi impak kepada ekonomi dunia. Namun di sebalik kejadian tsunami tersebut, tidakkah manusia itu terfikir bahawa segala kejadian tersebut merupakan kesan daripada tangan manusia yang merosakkan? Jangan hanya kerana selepas berlaku tsunami, baru kita terfikir untuk melestarikan alam. Jangan hanya kerana selepas berlaku tsunami , baru kita terfikir untuk mencegah. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Tarikh tersebut merupakan tarikh keramat bagi penduduk Jepun. Pasti tarikh tersebut akan terpahat kukuh dalam memori hidup mereka. Sesuatu yang tidak sama sekali dijangkakan telah berlaku. Namun, siapalah kita untuk menolak ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Siapalah kita untuk menghalang kuasa alam yang begitu hebat sekali. Sesungguhnya kuasa Allah yang Maha Hebat tidak akan ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Jepun walaupun dikatakan sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi, yang dikatakan membina bangunan dan jalan raya canggih yang hebat, namun tetap juga tewas kepada kuasa Allah. Bangunan dan jalan raya yang dikatakan teguh dan terlindung daripada ancaman gempa bumi dan gunung berapi. Namun, teknologi manusia tidak akan dapat mengatasi betapa hebatnya kuasa Allah. Begitulah dalam firmannya yang telah termaktub,
Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ' Jadilah engkau! '. Maka ia terus menjadi. ( Surah Yasin:82)
Ingatlah bahawa segala kemusnahan atau malapetaka yang menimpa pasti ada hikmahnya. Allah sebenarnya sedang bercakap dengan kita. Allah mahu kita kembali kepada-Nya. Marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita, walaupun tsunami itu melanda negara lain, tetapi kita perlu mengambil pengajaran kepada setiap bencana alam yang berlaku. Lihatlah dengan mata hati, betapa melangitnya dosa-dosa yang terlalu banyak kita telah lakukan. Adakah kita mahu kemusnahan datang melanda, baru kita hendak kembali kepada-Nya?Fikirlah wahai umat Islam, ambillah ibrah dengan kemusnahan yang telah berlaku. Allah mahu kita kembali kepada-Nya. Sesungguhnya tiada kuasa yang lebih hebat selain daripada kuasa Allah. Fikirlah dengan mata hati, Insya Allah kita akan dapat lihat kebesaran dan keagungan-Nya.Begitulah firman-Nya,
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
( Surah Yasin:83)
Thursday, March 10, 2011
UNTAIAN CINTA SEORANG MURABBI

Situasi di sekolah harian biasa era globalisasi kini...
" Ahmad, kenapa sejak akhir-akhir suka tidur di dalam kelas"? Tanya Ustazah Lida. Sudah kerap-kali dilihatnya Ahmad sering sahaja mengantuk dan matanya kelihatan kemerah-merahan apabila ditanya. Bukan hanya Ahmad sahaja, malah hampir semua pelajar Islam termasuk perempuan bersikap sedemikian. Baik dari pagi dia masuk ke kelas ataupun ketika waktu tengahari, situasinya tetap sama. Rata-rata pelajar Islam itu lemah dan tidak bermaya. “ Kamu solat Subuh atau tidak pagi tadi”, tanya Ustazah Lida lagi. Tidak puas hatinya melihat remaja yang dilahirkan dalam Islam itu memandang enteng tentang solat. Bagi mereka sudah tiada sebarang benteng bagi melindungi mereka daripada sebarang perkara kemungkaran. “ Tidak ustazah, malam tadi balik pukul 3.00 pagi”, jelas Ahmad tanpa perasaan malu. Jelas, tahap malu remaja Islam ini semakin hilang kini. “ Kamu pergi ke mana? Ibu bapa kamu tidak risau tentang kamu?” Ujar Ustazah Lida lagi. “ Kami pergi berseronok ustazah, ibu dan bapa kami tidak marah pun kepada kami apabila kami keluar malam”, jawab Ahmad lagi tanpa ditanya.
Perkara itulah yang sangat dibimbangi oleh para pendidik. Apabila pelajar semakin meningkat remaja, mereka mencari suatu keseronokan bagi menghilangkan segala bebanan fikiran. Namun, keseronokan itu telah membawa kehancuran kepada hidup mereka. Keseronokan yang dipilih hanya kemungkaran semata-mata. Betapa kasihannya dia melihat remaja Islam. Jiwa yang kosong dengan iman yang tipis terus menjadikan mereka hanyut dengan arus kemodenan dan keterbukaan era ini.
Situasi inilah yang dihadapi oleh kebanyakan guru kini. Guru hanya sebagai pendidik di sekolah, namun di rumah pendidikan diberikan oleh kedua-dua ibu bapa mereka. Jika pincang pendidikan keluarga, maka akan pincanglah remaja itu. Akan mudahlah dia terjerumus ke dalam anasir negatif yang semakin berleluasa di zaman ini. Belum lagi ditanya tentang solat, majoritinya akan menjawab tidak solat. Kenapa? Jawapannya mudah sahaja, kerana ibu bapa mereka tidak bersolat. Aduh! Kasihan mereka. Begitu mudahnya mereka memberi jawapan tanpa sebarang perasaan bersalah?Adakah ibu bapa ini tidak tahu betapa pentingnya solat dalam mendidik jiwa dan peribadi anak-anak? Tidak tahukah mereka dengan peringatan Allah di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud,
“ Apakah yang menyebabkan kamu semua masuk neraka Saqar ini? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk golongan orang-orang yang bersembahyang." ( Al-Mudathsir:42-43) .
Tidak gentarkah mereka dengan bahang dan kepanasan api neraka itu? Ataupun adakah mereka tidak mengetahui bahawa setiap amalan yang dikerjakan itu tidak akan diterima oleh Allah jika mereka tidak solat? Belum lagi mereka ditanya tentang bab Al-Quran. Jawapannya sangat mengecewakan. Bagaimana mereka ingin memperoleh akhlak gemilang, jika roh mereka tidak diberi makanan rohani? Bagaimana mereka ingin memperoleh ilmu yang mantap, jika di dalam kelas mereka tiada tumpuan dan berkhayal semata-mata? Bagaimana mereka ingin menjadi umat Islam gemilang, jika mereka tidak menjadikan agama sebagai tunjang hidup?
Ya Allah, kami mohon kepada-Mu Ya Allah bantulah kami untuk mendidik dan membimbing pelajar kami ke jalan-Mu. Sesungguhnya kami lemah dan tidak berdaya Ya Allah. Kami benar-benar mengharapkan pertolongan-Mu.Kurniakanlah kami kesabaran dan kekuatan Ya Allah, dalam menjadikan agama-Mu sebagai cara hidup mereka. Kabulkanlah pengharapan kami ini Ya Allah.Hanya kepada-Mu kami kembali.
Wahai anak didik kami,
“ Sesungguhnya kami ini gurumu, kami sentiasa menganggap kamu seperti anak-anak kami, adik-adik kami dan saudara-saudara kami. Berusahalah mengubah dan memuhasabah dirimu.Solatlah wahai anak-anak. Sesungguhnya solat itu mencegah dirimu daripada melakukan perkara mungkar. Tuntutlah ilmu dengan tekun wahai anak-anak. Sesungguhnya ilmu itu akan membentengi dirimu kelak dari unsur-unsur negatif. Ilmu itu akan menjadikan dirimu gemilang di dunia, gemilang di akhirat. Berusahalah anak-anak, kelak kamu pasti berjaya. Bersainglah anak-anak dengan bangsa asing, kelak kamu pasti disegani sebagai umat Islam yang berilmu. Sesungguhnya kami gurumu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripadamu. Cukuplah bagi kami kamu mempunyai berakhlak terpuji dan berilmu. Jadikanlah agama sebagai teras hidupmu anak-anak. Kelak, kamu akan mengetahui manisnya iman itu. Janganlah kamu menganggap kemarahan kami itu hanya untuk memalukan dirimu.Tidak sama sekali anak-anak! Kami benar-benar menyayangi dirimu.Kami tidak mahu kamu hanyut dengan keseronokan dunia. Insaflah wahai anak-anak. Jangan sia-siakan usia mudamu.Ingatlah hadis Rasulullah SAW tentang lima perkara itu. Masa muda sebelum tuamu, masa lapang sebelum masa sibukmu, masa kaya sebelum miskin, masa sihat sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum matimu. Ingatlah wahai anak-anak didik kami,kami tahu kami bukannya manusia yang sempurna. Namun sebagai seorang guru, sudah menjadi tanggungjawab kami membawa kamu ke jalan lurus, jalan yang diredhai Allah. Doa kami akan sentiasa bersama kamu anak-anak. Doa kami ingin melihat kamu berjaya di dunia dan di akhirat. Itulah sebenarnya kepuasan dalam diri kami seorang guru. Semoga kamu gemilang di dunia dan gemilang di akhirat wahai anak didik kami.
Sesungguhnya kami benar-benar menyayangimu...
SAJAK : NUR HIDAYAH
Kala senja merah mengufuk
Ditemani sirus berserakan halus
Diselangi cahaya tulus memancar
Sang mentari bersinar tipis menghiris
Ku merenung sayu sirus menipis
Menjiwai obor malap hatiku
Sanubari terusik dosa melangit
Melangkaui sempadan jiwa tersiksa...
Gumpalan dosa yang kian mencengkam
Meratah pilu kegembiraan nurani
Syahdu jiwa mengenang dosa
Dosa silam meriah bertandang
Sewaktu kejahilan menyelubungi jiwa
Rakusnya dosa menyelimuti kalbu
Penyesalan tumbuh membaluti fikiran
Ku pohon maghrifah-Mu tinggi melangit
Seluas ciptaan-Mu aku merafak
Hidayah-Mu memancar nur ketenangan
Terimalah Ya Allah keampunan hamba-Mu
Sesungguhnya Keampunan-Mu mengatasi murka-Mu
Syukur nur-Mu bersinar menerangi sanubariku...
Sunday, March 6, 2011
CERPEN : SI TUKANG KEBUN
Si Tukang Kebun itu menjejak kaki ke tapak rezeki pada kala gelap dia masih belum pulang. Begitulah rutin harian dunia pencariannya apabila berada di bawah telunjuk ketua . Upah pencarian hanya sekadar cukup makan bagi menguatkan tulang empat keratnya. Namun begitu, upahnya semakin menyusut selari dengan zuriat yang diamanahkan semakin menginjak dewasa. Si Tukang Kebun itu ada kalanya terlewat, terutama ketika hujan menjadi raja. Dia hanya memiliki sebuah motor kapcai , yang dibeli secara perjanjian dengan tauke Cina di bandar. Hendak membeli kereta, ketidakmampuannya terserlah. Maka, hanya itulah kenderaan yang ditunggang untuk menghantar zuriatnya ke pusat ilmu ketika gerimis tidak di undang datang bertandang. Namun, jika sinaran mentari menusuk kulit , dibiarkan sahaja zuriatnya menyusuri jalan. “ Biar dia tahu berdikari dan mengerti akan kepayahan hidup,” fikirnya.
Era dahulu dia dan keluarganya mendiami teratak kayu di hujung kampung, namun akhirnya dia mengambil solusi untuk berhijrah ke kota. Penginapannya kini, teratak murah dua kamar yang dibeli melalui perjanjian sang ketua yang terletak hanya seperempat jam dari pusat ilmu zuriatnya. Dia punya jiran baru dan dia punya azam baru. Jiran di kiri kanan rumahnya hampir sebaya usia dan tidak berbeza jauh dari segi bidang usaha. Semuanya punya cita-cita untuk membahagiakan keluarga. Upah yang utama itu sering kali tidak mencukupi, namun tetap dia bertungkus-lumus mencari upah sampingan bagi menampung hidup. Setiap hujung minggu merupakan masa bagi menjana pendapatan sampingannya. Sungai Siampam menjadi saksi penerokaan spesies sungai yang sering menjadi rebutan si pemburu yang rakus. Sungai yang dikuasai oleh spesies tengas, lampam jawa, tereboi, daun dan potak yang sering menjadi santapan keluarganya. Spesies yang berjaya ditewaskan akan dijual di kota, digaul garam kunyit untuk dijadikan pekasam ikan atau dijadikan santapan harian. Jarang sekali Si Tukang Kebun sekeluarga menikmati hidangan daging dan ayam. Namun, Si Tukang Kebun sangat bersyukur, tiada pernah mereka kebuluran apatah lagi menadah tangan memohon simpati manusia.
Spesies di Sungai Siampan semakin menyusut kerana era modenisasi yang semakin berkuasa. Semuanya kerana penerokaan rimba oleh si peneroka yang tidak halal. Penerokaan rimba ini mengakibatkan larian air tanpa halangan tatkala awan memuntahkan isi dengan lebatnya. Air keruh yang berlari bersama mendapan tanah menambun lubuk, menyesak belat lalu tengas, lampam jawa, tereboi, daun dan potak rimas dan kelemasan. Sebahagiannya lari jauh menghilir sungai dan sebahagian yang bertahan di situ kehilangan sumber makanan. Ikan itu menjadi tidak sihat dan yang ditangkap tidak sebesar dahulu.
Dalam pada itu isteri Si Tukang Kebun berniaga pisang goreng. Kadang-kala jualannya laris, lalu tersenyumlah dia. Kadang-kadang dagangannya tidak laris, lalu dia bermuram durja . Si Tukang Kebun juga membuat pembelian barangan dapur secara perjanjian di Kedai Deraman. Menjelang hujung bulan, apabila upah diperoleh dilangsaikan hutang itu. Cukuplah semua itu untuk keperluan sepurnama.
Zuriatnya pula seramai enam orang. Lima puteri dan seorang putera. Semuanya diputerakan dan diputerikan dalam tahun-tahun yang berderetan. Hampir setiap hari zuriatnya pasti bertegang urat. Ada masanya mereka menjerit kegirangan. Ada masanya mereka menangis kesedihan. Begitulah dunia mereka. Carik-carik bulu ayam,lama-lama bercantum jua. Menjelang matahari berlabuh pada hujung minggu, zuriatnya akan bergilir-gilir membaiki jala bersama Si Tukang Kebun. Begitu juga apabila menghantar pisang goreng ke gerai yang berhampiran, sistem giliran diperkenalkan supaya zuriat yang diamanahkan itu mengerti akan kepayahan Si Tukang Kebun memperoleh rezeki.
Pakaian untuk ke pusat ilmu juga dikongsi zuriatnya bersama antara satu sama lain. Itulah yang diturunkan daripada zuriat yang sulung hingga kepada zuriat yang bongsu . Alas kaki ke pusat ilmu pula yang paling murah dibeli. Menjelang pertengahan musim persekolahan, alas kaki itu dilekat dengan pelekat cap gajah supaya mampu bertahan sehingga tamat pembelajaran hujung tahun Masihi.
Memperoleh pakaian baru perayaan setahun sekali bukan satu impian . Kadang-kala pakaian terpakai dihadiahkan oleh sahabat yang bersimpati supaya zuriatnya bergembira pada hari perayaan. Si Tukang Kebun tidak kisah itu semua. Yang penting zuriatnya bergembira dan tidak berduka pada hari mulia. Terataknya pula hanya muat untuk mereka sekeluarga. Si Tukang Kebun tidak bercadang untuk memperlebar terataknya. Walaupun teratak jiran telah diperbesar, teratak Si Tukang Kebun itu tetap berdiri utuh seperti asal tanpa sebarang transformasi.
Bayaran di pusat ilmu zuriatnya juga sering kelewatan. Begitu juga dengan pembelian kitab-kitab zuriatnya untuk menuntut ilmu. Namun dia berusaha sedaya upaya untuk melangsaikannya. Bagi Si Tukang Kebun, ilmu itu menjadi prioriti bagi mentransformasikan hidup yang susah. Itulah setitik ingatan kepada zuriatnya saban hari sebelum melangkah ke pusat ilmu. Perbelanjaan harian zuriatnya cuma 50 sen sehari. Cukup bagi mereka ketika itu. Memang zuriatnya ingin berbelanja lebih, tetapi apakan daya, Si Tukang Kebun tiada kemampuan.
Si Tukang kebun itu sangat tegas mendidik zuriatnya. Menjelang malam hari , televisyen hitam putih itu tidak boleh ditonton. Cukuplah menonton sebelum Maghrib sahaja. Malam adalah masa zuriatnya menyelesaikan kerja yang diberi oleh ustaz dan ustazah . Selepas Asar pula, zuriatnya tidak dibenarkan keluar untuk bebas berkawan dan bermain. Si Tukang Kebun tidak mahu zuriatnya terpengaruh dengan perlakuan liar zuriat jirannya. Kadang-kala zuriatnya yang melanggar ketetapan akan dihukum. Lalu kesemua zuriatnya itu menjadi gerun kepadanya. Mendengar sayup-sayup kenderaan Si Tukang Kebun sahaja, membuatkan zuriatnya kecut perut.
Si Tukang Kebun itu menghabiskan saban hari di pusat ilmu, tempat dirinya mendapat upah. Kadang-kala membantu pengajar di situ mengesan pelajar melanggar ketetapan. Si Tukang Kebun juga mempunyai hubungan erat dengan pengetua. Sering pengetua menasihati zuriatnya supaya membalas jasa Si Tukang Kebun itu apabila dewasa. Zuriatnya itu mengangguk kepala perlahan tanda bersetuju.
Si Tukang Kebun sangat komited dengan tugas yang diamanahkan. Segala kawasannya dibersihkan sebersih-bersihnya. Bunga-bunga yang dimanjakannya tumbuh subur menghias dan memperindah kawasan. Nah lihatlah pakaian Si Tukang Kebun kuning berlumpur oleh percikan lumpur daripada putaran mesin rumput yang diayun ke lembah berair. Di sebalik kaki seluarnya pula tercalar betisnya oleh bidasan anak-anak batu yang terlancar laju. Namun Si Tukang Kebun terus berdiri gagah atas tugasan itu. Kadang-kala Si Tukang Kebun bertugas mengawasi pusat ilmu pada kala malam. Dia mengawal keselamatan pusat ilmu daripada segala anasir yang menceroboh.
Si Tukang Kebun juga sangat mementingkan ilmu ukhrawi zuriatnya. Si Tukang Kebun sangat menjaga solat zuriat dan keluarganya. “Solat itu pasti membentuk keperibadian mulia,” ujarnya. Selepas Asar pula dihantar zuriatnya mengaji Al-Quran. Jadi tidak hairanlah zuriat Si Tukang Kebun bijak dan telah khatam Al-Quran beberapa kali. Anak-anak Si Tukang Kebun juga dapat menguasai ilmu duniawi dengan mudah impak tugas Si Tukang Kebun yang ikhlas.
Si Tukang Kebun juga mempunyai harta tanah sesuku. Tanah sekangkang kera itu dimiliki daripada arwah ibunya yang dikongsi bersama dua adik-beradik yang lain. Tanah itu menjadi tapak penanaman koko yang hasilnya kian meningkat saban waktu. Selain itu, turut ditanamnya pohon cabai, terung dan labu. Semua tanaman itu hidup subur. “ Tidak rugi berbakti kepada tanah,” katanya. Bagi menjana terus pendapatan keluarga, isteri Si Tukang Kebun menghasilkan aiskrim milo dan aiskrim asam masin untuk disasarkan jualannya kepada anak jiran tetangga . Semakin hari semakin meningkat dagangan itu, cukup untuk menampung perbelanjaan si Tukang Kebun menanggung keluarga.
Pada suatu hari, Si Tukang Kebun ditawarkan oleh tauke kantin pusat ilmunya untuk menjual aiskrim. Jualan aiskrimnya semakin mendapat sambutan hangat di kantin pusat ilmunya. Namun, lama-kelamaan tauke kantin itu tidak lagi membenarkan aiskrimnya dijual kerana dia akan menghasilkan aiskrim itu sendiri. Betapa kecewanya hati Si Tukang Kebun. Kemudian, Si Tukang Kebun ditawarkan pula untuk menjual aiskrim di sebuah kedai makan di kawasan terataknya berlabuh. Namun akhirnya tuan empunya kedai itu juga ingin menghasilkan aiskrim itu sendiri untuk dijual apabila menyaksikan peningkatan jualan aiskrim Si Tukang Kebun mendadak sekali. Kecewa lagi hati Si Tukang Kebun. Pisang goreng yang dijualnya pula semakin tidak laris. Kadang-kala dibawa pulang pisang goreng yang kesejukan itu. Akhirnya Si Tukang Kebun tidak lagi menghantar pisang goreng. Kemudian dijualnya pula kuih ‘bom’ sejenis kuih yang mengembang apabila digabung jalin bersama yis. Pada awalnya ‘kuih bom’ itu mendapat sambutan hangat apabila dihantar di gerai kecil sahabat Si Tukang Kebun. Namun akhirnya gerai itu pula ditutup kerana sahabatnya itu jatuh sakit. Hati Si Tukang Kebun kembali diulit kecewa apabila memikirkan perbelanjaan lebih diperlukan oleh zuriatnya yang semakin dewasa .
Dapur yang digunakan untuk memasak pisang goreng itu hanyalah dapur kayu. Kayu itu dicari oleh Si Tukang Kebun di hujung kampung bersama isterinya. Diikat kayu tersebut di atas kapcainya dan naiklah mereka berdua suami isteri mengangkut kayu itu untuk dibawa pulang ke terataknya. Dapur untuk memasak nasi dan lauk-pauk pula hanya menggunakan dapur minyak tanah. Sebotol minyak tanah hanya berharga 50 sen. Cukuplah minyak itu untuk memasak selama dua hari. Selepas itu akan disuruh zuriatnya membeli minyak tanah itu di kedai yang berhampiran. Kadang-kala pecah botol minyak itu terkena batu sewaktu dibawa pulang. Selalunya ketika itu zuriatnya akan pulang terketar-ketar kerana ketakutan. Akibatnya mereka akan dikenakan hukuman oleh Si Tukang Kebun.
Pada suatu hari, Si Tukang Kebun dan isteri bersama zuriat lelaki itu telah ditimpa musibah di jalan raya. Kenderaan kapcainya telah terlanggar lubang ketika mereka tiga beranak menghadiri kenduri bapa saudaranya di hujung kampung. Ketika itu awan sedang memuntahkan air dengan begitu kejam. Nasib baik ketika itu ada insan yang berhati mulia membantu mereka sekeluarga. Insan yang mulia itu jugalah yang menghantar mereka ke klinik. Insan yang mulia itu jugalah yang memberikan sedikit sumbangan ihsan kepada mereka sekeluarga apabila mengetahui dia hanya si tukang kebun . Insan yang berhati mulia itu jugalah sehingga kini menjadi sahabat yang akrab buat keluarga mereka. Ketika itu, zuriat lelakinya itu cedera parah di kepala dan isterinya pula parah di bahagian mulut sehingga gigi di bahagian bawah patah. Manakala Si Tukang Kebun sendiri cedera di bahagian matanya. Zuriat lelaki si Tukang Kebun itu dimasukkan ke wad beberapa minggu dan ditemani oleh zuriatnya yang kedua. Cedera parah di kepala zuriatnya itu telah meninggalkan parut yang jelas dilihat sehingga kini.
Begitu juga ketika zuriat keduanya yang turut ditimpa musibah jalan raya semasa kecil. Retak tulang bahunya. Luluh hati isteri si Tukang Kebun sewaktu mengetahui anak keduanya itu ditimpa musibah . Lengan hingga ke tulang bahu zuriatnya itu telah disimen. Bersyukur si Tukang Kebun apabila anaknya selamat daripada malapetaka itu. Bagi mensyukuri rahmat dan nikmat yang dikurniakan Allah, Si Tukang Kebun telah mengadakan majlis kesyukuran. Disembelih ayam peliharaannya dan pada pagi-pagi lagi Si Tukang Kebun telah keluar mencari ikan sepat kemboja di lombong untuk santapan tetamu yang menghadiri majlis itu.
Kesempitan hidup yang dialami oleh Si Tukang Kebun,menyebabkan dia tidak pernah membawa isteri dan zuriatnya pergi melancong dan menikmati keindahan alam. Zuriatnya hanya mendengar cerita teman di pusat ilmu tentang percutian mereka ke tempat-tempat yang menarik. Nasib baik zuriat si Tukang Kebun memahami kesempitan hidup mereka.
Zuriat Si Tukang Kebun yang terdidik dengan akademik , akhlak dan disiplin yang tinggi sering memperoleh kejayaan gemilang di dalam peperiksaan. Menjelang Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ) ketika itu, zuriat sulungnya mendapat 12 agregat. Zuriat keduanya juga mendapat 12 agregat. Zuriat ketiganya pula mendapat 9 agregat. Diusahakan zuriat ketiganya itu untuk ditempatkan di asrama penuh. Namun gagal kerana dia hanyalah orang ‘kecil’ yang tidak mempunyai hubungan dengan ‘orang besar’. Hal ini kerana anak seorang sahabatnya yang berjawatan besar telah mendapat tawaran memasuki asrama penuh kerana mempunyai hubungan dengan orang yang bekerja di pejabat berkaitan. Sedangkan anak sahabatnya itu hanya mendapat 15 agregat. Kecewanya dia ketika itu. Zuriat keempatnya pula mendapat 21 agregat dalam SRP, manakala zuriat lelakinya mendapat 7A1B dalam Penilaian Menengah Rendah. Zuriatnya yang bongsu pula mendapat 8A dalam PMR yang diumumkan. Hanya zuriat bongsunya itu yang berjaya melanjutkan pelajaran di asrama penuh. Betapa bangganya Si Tukang Kebun dengan kejayaan anak-anaknya. Pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, kesemua anak-anaknya mendapat kejayaan yang cemerlang. Kepuasan di dalam hati di Tukang Kebun mula terbit kerana hasil titik peluhnya telah berjaya mendidik anak-anaknya memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Kini, Si Tukang Kebun mampu tersenyum puas. Didikan yang tegas daripada ibu atau bapa sebenarnya sangat penting dalam mendidik zuriat yang diamanahkan. Zuriatnya yang sulung, kedua dan ketiganya kini bertugas sebagai ustazah. Zuriat sulungnya juga ketika ini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan berpeluang untuk menjadi seorang pensyarah pada masa akan datang . Zuriat keempatnya pula bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Sultan Ismail, Johor. Cuma kini yang masih meneruskan pembelajaran adalah zuriat lelakinya di Universiti Tun Hussein Onn dan zuriat bongsunya di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.
Zuriatnya ketika bekerja kini tidak pernah lupa menghulurkan sumbangan kepada Si Tukang Kebun dan isteri. Segala perbelanjaan rumah ditanggung oleh zuriatnya kini. Terataknya pula telah diperbesar, cukup untuk menampung bilangan keluarga yang semakin membesar. Kehidupan Si Tukang Kebun kini tidak lagi ibarat kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Semuanya serba cukup dan lengkap. Kini, dia tidak lagi mengambil upah sebagai tukang kebun. Sejak era persaraannya berlalu, Si Tukang Kebun masih lagi mengambil upah memotong rumput di rumah pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya. Namun usaha itu tidak sekerap dahulu kerana faktor kesihatan yang semakin tidak mengizinkan. Namun, itulah tugas yang disayangi sejak dahulu, yang membolehkannya menerima upah bagi memberi ilmu kepada zuriatnya. Selagi terdaya tubuh badan, segalanya akan diusahakan. Kebun koko yang diusahakannya masih lagi mengeluarkan hasil, malah semakin meningkat dari segi pertambahan pokok dan buahnya. Tambahan pula, Si Tukang Kebun memperlelarkan usahanya dengan menternak spesies keli di dalam tong. Hasilnya telah dinikmati beberapa kali oleh mereka anak-beranak.
Kini, Si Tukang Kebun lebih banyak menghabiskan masanya di rumah. Badan yang semakin tua, dengan penglihatan yang semakin kabur serta pendengaran yang semakin kurang kenyal tidak memungkinkannya untuk bergerak aktif seperti dahulu. Namun, segala kesusahan itu satu kebahagiaan bagi Si Tukang Kebun.
Aduhai anak, Memang bapa sudah tua, sudah hampir sampai ke garisan itu. Usah risau tentang bapa. Teruskan berusaha memajukan kehidupanmu. Rancang setiap usaha supaya usahamu benar-benar berjaya. Simpan rindumu pada bapa. Bapa selamat. Usah risau. Bapa yakin Allah menyelamatkan bapa, lirih Si Tukang Kebun setiap kali teringat akan zuriatnya.
Sunday, February 13, 2011
KAU ISTIMEWA YA RASULULLAH
DIPETIK DARIPADA ARTIKEL USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL - SAIFULISLAM.COM-ERTI HIDUP PADA MEMBERI
DIA PERNAH MENCINTAIMU...
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
MURABBI CINTA SEORANG NABI...
“Kepalaku!” kata Aisyah.
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.
Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.
Baginda menyedarinya.
“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.
Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.
Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.
“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.
“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.
Merajuk.
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.
Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.
SAKIT YANG BERTAMBAH
Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.
Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!
“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ‘sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri.
Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.
Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah.
Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.
“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya.
Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?
HARI-HARI TERAKHIR
Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:
Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.
Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.
Anakanda itu menangis.
Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.
Fatimah ketawa.
Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”
Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”
Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”
Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!
“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!
Aku menangis…
Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!
Aku ketawa”
Sesungguhnya…
Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!
DETIK SEMAKIN HAMPIR
Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.
Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.
Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.
“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.
Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:
Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.
Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!
Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.
Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.
Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.
Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”
Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.
Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.
Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.
Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]
Kami rindukanmu.
Murabbi cinta!
Thursday, November 18, 2010
KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU

Rasulullah s.a.w telah memperingatkan kita betapa pentingnya ilmu dalam mencari kesenangan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana sebuah hadis nabi yang berbunyi :
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم ومن أرادهما فعليه بالعلم
Maksudnya : Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka dia juga mesti berilmu dan sesiapa yang ingin keduanya iaitu dunia dan akhirat maka dia lebih dituntut agar berilmu
Terdapat ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menunjukkan keutamaan dan kepentingan menuntut ilmu kepada seseorang hamba Allah:
- Firman Allah, " Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama ( dari kalangan kamu) beberapa darjat." ( Surah Al-Mujadalah, ayat 11 )
- Ilmu lebih baik dari harta, harta jika dibelanjakan akan berkurang, tetapi ilmu jika disebarkan akan bertambah. ( Saidina Ali bin Abi Talib ra )
- Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan memberikan kepadanya kefahaman agama. ( Riwayat Al Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi )
- Barang siapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga ( Riwayat At-Tirmidzi )
- Barang siapa keluar dari rumahnya untuk mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali ke rumahnya. ( Riwayat At-Tirmidzi )
- Demikian tingginya darjat orang yang menuntut ilmu sehingga para malaikat bersikap hormat terhadap orang yang menuntut ilmu. ( Riwayat Abu Daud )
- Barang siapa belajar ilmu Allah kerana taqwa,menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah tasbih, membahasnya adalah jihad, mengajarkannya kepada yang belum mengetahui dinilai sedekah,memberinya kepada keluarga bererti bertaqarub kepada Allah. ( Riwayat Abu Daud )
Jadi, marilah kita sama-sama melapangkan masa untuk menuntut ilmu. Semoga Allah memberi keberkatan kepada masa yang kita ada. Kesibukan itu adalah ujian dari Allah. Semoga kita sentiasa berada dalam naungan rahmatNya yang Maha Luas.Gunakan semaksimum masa yang ada untuk sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.
" Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui "
Surah Az-Zumar ( ayat 9 ).
Taddabur ayat di atas dan semoga kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya ilmu Allah itu dalam diri seseorang hamba dalam kehidupan era milenium yang sangat mencabar ini. Hanya dengan ilmu dapat membatasi dan menjadi pendinding diri supaya tidak terus- menerus melakukan kemaksiatan yang membawa kepada matinya hati. Semoga Allah terus melindungi dan menaungi rahmatNya ke atas kita. Wallahua'lam.
Thursday, November 11, 2010
OBOR KEHIDUPAN...!

Untuk hubungan dengan Allah.....peliharalah solat
Untuk hubungan dengan Rasulullah.....amalkan sunnah dan banyakkan selawat
Untuk hubungan sesama manusia.....jagalah lidah
Untuk mendapat keberkatan hidup.....berbaktilah kepada kedua ibu bapa
Untuk mendapat hidayah dari Allah.....carilah panduan Al-Quran
Untuk mendapat kemuliaan hidup.....binalah akhlak yang mulia
Untuk mendapat keceriaan wajah.....banyakkan senyuman
Untuk mendapat ketenangan jiwa.....banyakkan zikrullah
Untuk terhindar dari keresahan.....jauhilah dosa dan maksiat
Untuk kehidupan yang damai.....jauhilah permusuhan
Untuk mendapat keluasan rezeki.....banyakkan bersedekah
Untuk mencapai kejayaan.....jadilah insan yang bertaqwa
Untuk mendapat keampunan Allah.....banyakkan taubat
Untuk mendapat kasih sayang.....sebar dan tebarkan salam serta kebaikan
Untuk mendapat anugerah syurga.....jadilah hamba ALLAH yang taat.....
Semoga dalam kembara hidup ini, kita memperoleh QALBUN SALIM dalam perjalanan menuju ke destinasi yang terakhir. KurniaNya yang Maha Luas dan tidak terhitung ini diharapkan dapat memberi suatu keajaiban kepada diri dalam memburu cinta dan redhaNya.Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu, mohonlah kepadaNya supaya Dia menciptakanlah perasaan cinta dan rindu yang sangat mendalam dalam diri kita terhadapNya...Semoga kita memperoleh QALBUN SALIM dalam pemburuan cinta dan rindu itu.SELAMAT MEMBURU QALBUN SALIM...Wallahua'lam....
Sekadar perkongsian ilmu yang dipetik dari kuliah Ustaz Rujhan Gazali ( 6 NOV 2010 )-MASJID TG ABU BAKAR
Subscribe to:
Posts (Atom)