Monday, March 26, 2012

ISLAM - SATU-SATUNYA AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH...



Bagi sesiapa yang melihat dan menghayati video ini, pasti sangat mengesankan jiwa. Terutamanya pada minit yang ke-19. Dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Yusuf Estes sangat mengesankan dan meruntunkan jiwa bagi sesiapa yang menontonnya. Sesungguhnya itulah dakwah yang dijalankan dengan hati dan jiwa yang ikhlas. Sesungguhnya itulah dakwah Islam yang sebenar. Dakwah yang berjaya membawa jiwa yang bukan Islam kembali kepada fitrah.

Melihat dakwah yang dijalankan oleh beliau, terfikir betapa kerdilnya diri. Diri yang dilahirkan Islam masih tidak mampu untuk membawa orang bukan Islam kepada Islam hatta dakwah kepada orang Islam sekalipun, diri ini masih lagi gagal. Lihatlah dakwahnya, beliau berjaya mengislamkan beberapa orang ketika beliau menyampaikan dakwah, belum lagi dihitung pelbagai dakwah yang berjaya dilakukannya.

Itulah nikmat Islam sebenarnya. Sesungguhnya satu-satu agama yang diredhai Allah ialah Islam. Islam itu syumul. Tiada apa yang lebih tinggi daripadanya. Sesiapa yang baru memeluk Islam, dosanya terhapus seumpama bayi yang baru lahir. Hidayah Islam yang diperoleh oleh Syeikh Yusuf Estes ini telah berjaya membuka dan mengetuk pintu hati orang yang bukan Islam kepada Islam.

Tetapi apabila melihat kepada diri yang tiada apa-apa sumbangan ini, berapa ramaikan yang telah kita berjaya bawa kepada Islam. Hatta di Malaysia sekalipun, perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri tidak memungkinkan keadaan sedemikian berlaku. Walaupun ada, tetapi hanya sebilangan kecil. Islam itu tidak mengenal sesiapa, Islam tidak mengenal pangkat, harta, darjat dan keturunan. Allah tidak melihat semua itu,yang hanya Allah lihat adalah hati dan taqwa kita. Berapa banyakkan sumbangan yang kita lakukan demi menegakkan Islam.

Semoga ini akan menjadi perangsang kepada diri kita untuk terus berjuang dan berdakwah demi Islam. Sesungguhnya ingatlah pikatlah orang lain dengan akhlak dan ilmu. Seseorang yang berakhlak dan berilmu tidak akan sesekali mencela orang lain. Hebat dan kagumnya dengan Syeikh Yusuf Estes. Itulah kurniaan Allah yang Maha Hebat. Sesungguhnya satu-satunya agama yang diredhai Allah ialah Islam.

Ayuh...teruskan perjuangan dan bersama-sama kita berdakwah dengan ikhlas demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Allahuakbar....

Monday, February 27, 2012

SETITIP SANTAPAN NURANI : KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012



Menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2012 pada 18 dan 19 Februari lalu yang bertempat di Dewan Merdeka PWTC memang sangat memberi kesan kepada hati dan jiwa ini. Sehingga ke hari ini,masih lagi terngiang-ngiang di telinga dan terkesan di jiwa hikmah-hikmah yang disampaikan oleh para asatizah yang hebat yang pasti menjadi kenangan terindah dalam hidup ini. Benarlah, perancangan Allah itu Maha Hebat. Betapa diri ini sudah lama sangat berharap untuk menadah ilmu secara berhadapan dengan para asatizah yang hebat ini, dan akhirnya telah dikabulkan oleh Allah.

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala apa yang terkandung dalam hati hamba-Nya yang lemah ini. Betapa syukur dipanjatkan kepada-Nya kerana terpilih untuk menghadiri majlis ilmu ini bersama empat orang sahabat yang lain. Walaupun pada tarikh yang sama 18 Februari tersebut, mempunyai kursus 6 jam di sekolah sebagai Latihan Dalam Perkhidmatan ( LADAP), namun apabila diri ini memohon pelepasan daripada Pengetua, dengan izin Allah segalanya telah dipermudahkan. Begitu juga dengan perjalanan pergi dan balik, segala-galanya telah dipermudahkan oleh-Nya.

Benarlah, betapa indahnya ilmu Allah itu. Berada dalam persekitaran ilmu itu benar-benar mendamaikan dan menenangkan jiwa. Selama ini hanya mengetahui konsep WASATHIY ini secara umum, tetapi setelah menghadiri konvensyen ini, apabila konsep ini diaplikasikan dalam kehidupan, inilah sebenarnya kehidupan yang dicari-cari yang tujuannya hanya satu, semata-mata hanya untuk mencari redha dan cinta Ilahi. Penyampaian ilmu secara hikmah oleh para asatizah, banyak menjentik dan mengetuk pintu hati ini serta menjadikan diri ini tersedar dari terleka dan terlena selama ini.

Begitu juga berkesempatan mendengar sedikit tazkirah ringkas daripada Sham Kamikaze dan hikmah daripada Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe. Namun, sesuatu yang paling membanggakan adalah apabila guru Tafsir Al-Quranku, Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim turut menjadi salah seorang pembentang yang hebat sepanjang konvensyen tersebut. Semoga Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik kepadanya dalam menyebarkan ilmu Allah di muka bumi ini. Begitu juga para asatizah lain, pihak I Luv Islam sendiri, dan pengerusi majlis yang serba boleh, semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segalanya dalam menyebarkan ilmu Allah dalam marcapada yang menyaksikan kebangkitan umat Islam yang dahagakan ilmu.

Sebelum kaki meninggalkan PWTC ini, rasa sayu dan syahdu amat menguasai diri. Di sinilah ukhwah terjalin kerana kebanyakan peserta datang dari pelosok tanah air yang sanggup hadir demi ilmu Allah ini. Perkenalan singkat bersama adik-adik Sabahan dari Kolej Insaniah, Kedah juga menjadikan diri ini kagum kerana dengan jarak yang jauh mereka sanggup menghadirinya semata-mata kerana ilmu Allah. InsyaAllah jika diizinkan oleh-Nya, semoga diri ini terpilih untuk menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah 2013.

Sedikit perkongsian tentang RESOLUSI KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012 yang diedarkan kepada semua peserta yang disampaikan oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Dr Zahazan, Ustaz Zamri Mantop dan Akhi Imran Koyube ( Presiden I LUV ISLAM) sebagai moderator.

UMUM

Wasathiy yang dimaksudkan oleh konvensyen ini adalah sesuatu metod kefahaman ilmu dan pengamalan beragama yang paling adil dan terpilih bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah berdasarkan situasi semasa tertentu. Manhaj atau metod wasathiy amat perlu didokong oleh umat bagi memastikan kejituan dalam kefahaman ilmu Islam, mengurangkan pergeseran dalam kalangan sebahagian ulama dan umat Islam, merapatkan ukhwah serta membenihkan kasih sayang sesama muslim.

AQIDAH

Wasathiy dalam aqidah adalah aqidah ahli Sunnah Wal Jama’ah ( merangkumi salafiyah, asya’irah, maturidiah ) yang bersumber dari nas Al-Quran dan Hadis yang sahih sambil menyedari bahawa kefahaman teks Al-Quran dan Hadis boleh membawa kepada pembahagian ilmu aqidah kepada usul dan Furu’(cabang). Umat Islam diwajibkan bersatu di atas usul aqidah namun dibenarkan berbeza tafsiran dalam hal furu’. Dengan itu, konvensyen menekankan umat Islam agar mendalami ilmu usul aqidah dan mengurangkan perdebatan dalam hal ehwal cabang aqidah.

IBADAH

Wasathiyyah dalam ibadah merupakan tanggungjawab dan tugas asas umat Islam dalam kepelbagaian pensyariatan hukum hakam dengan memurnikan wawasan ukhrawi tanpa melupakan keperluan duniawi yang menjadi alat kebahagiaan di akhirat. Pelaksanaan ibadah meraikan keadaan dan kemampuan manusia dan perbezaan situasi mereka serta meraikan aspek-aspek kemudahan dan keringanan dalam pensyariatan. Persoalan bida’ah dalam ibadah terdedah kepada pelbagai tafsiran, justeru perlu diperhalusi pengertiannya dengan lebih teliti agar tidak dijadikan sebagai medium kafir-mengkafir dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Wasathiyyah dalam ibadah zakat merangkumi ketelusan pentadbiran, mengelakkan penyalahgunaan, kaedah pengagihan yang lebih efektif dan sebarang bentuk penyalahgunaan sumber demi kepentingan individu mahupun kumpulan tertentu.

Meraikan pandangan dari pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan serta mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam isu zakat. Bersifat lebih terbuka dalam menangani permasalahan dan keperluan asnaf serta memelihara maslahat muzakki.

DAKWAH

Wasathiy dalam dakwah adalah yang dilakukan secara berhikmah sambil meraikan kepelbagaian latar belakang mad’u, persekitaran dan kesesuaian teknik dakwah, menjinak hati serta tidak menghukum. Pun begitu, kandungan dakwah adalah sama iaitu membawa diri pendakwah sendiri dan masyarakat ( mad’u ) untuk hampir kepada Allah dan Rasul-Nya dengan mentaati syariah Islam. Juga disedari, dakwah kepada Islam memerlukan pendakwah dari pelbagai bangsa dan bukan pula bererti membawa mad’u kepada identiti bangsa dan kumpulan tertentu.

KEWANGAN DAN EKONOMI

Wasathiyy dalam ekonomi dan kewangan adalah menerima sistem dan matawang yang sedia ada sambil menegaskan usaha untuk memberi kefahaman kepada umat Islam berkenaan ilmu dan sistem muamalat Islam adalah menjadi keutamaan.

Konvensyen juga menegaskan sokongan terhadap usaha memantapkan muamalat Islam sama ada melalui sistem perbankan Islam kini atau pengenalan sistem matawang emas. Dengan menolak sebarang pendekatan meremehkan kedua-dua usaha tadi. Namun usaha penambahbaikan mesti diteruskan demi kemaslahatan umat Islam.

TURATH

Wasathiy dalam khazanah dan karya ulama silam adalah mengiktiraf kepentingannya dalam memahami nas syarak dan menjadi asas kepada perkembangan intelektual umat Islam kini. Juga ditegaskan ilmu alat bahasa Arab dan pemahaman terhadap terminologi khas, konteks karya tersebut dihasilkan adalah sangat penting dalam memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Juga disedari bahawa sebahagian kesimpulan yang terdapat di dalam khazanah silam berkemungkinan kurang menepati suasana, penemuan dan kajian semasa. Justeru, ia terbuka dan memerlukan kepada proses pembaharuan melalui ijtihad ulama kontemporari.

TAZKIYAH AN-NAFS

Mengiktiraf kepentingan penyucian jiwa bagi mencapai kemuliaan akhlak, ketinggian iman dan kejituan ibadah yang merupakan tuntutan besar di dalam diri setiap individu muslim. Juga, konvensyen menetapkan bahawa kaedah, jalan dan caranya mungkin berbeza antara satu dengan yang lain, namun yang terbaik adalah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

POLITIK

Konvensyen menekankan peri pentingnya politik di dalam Islam dengan tidak mengambil ruang ekstrem menjadikannya sebagai lapangan mengkafir,menyesat dan menzalimi sesama umat Islam. Juga menyeru umat Islam untuk berpegang kepada politik yang berpaksikan prinsip, hujah,moral dengan berlandaskan ukhwah. Persaingan sihat di dalam politik berdasarkan kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik adalah untuk kemashalatan umat berteraskan Maqosid Syariah tanpa menggadaikan nilai-nilai akhlak dalam Islam.

PENGAJIAN AL-QURAN

Al-Quran adalah kitab Allah yang wajib difahami sebagaimana kehendak Allah,menurut kemampuan akal manusia dengan bersandarkan sunnah Rasulullah, Athar para sahabat dan tafsir para ulama muktabar. Ilmu-ilmu yang merangkumi qiraat, tajwid, tafsir Al-Quran dan yang berkait dengan Al-Quran adalah satu disiplin ilmu tersusun yang mempunyai tuntutan tersendiri. Kelayakan ilmu dalam bidang ini sangat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam memahami nas Al-Quran.

Syukran dengan ilmu yang disampaikan oleh para asatizah yang hebat. Tidak akan dilupakan kenangan yang terindah ini. Bertemu secara berhadapan dengan Dr Zulkifli al-Bakri, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Dr Zahazan, Ustaz Izhar, Ustaz Abdullah Bukhari, Xifu Naser, IM Asyraf, Ustaz Nizam Kadir, Ustaz Syed Norhisham, Ustaz Ahmad Husni, Dr Maszlee Malik, Dr Khairuddin, Ustaz Fawwaz Fadzil, Dr Abdul Bassit, Dr Roslan Ahmad, Ustaz Subki, Ustaz Ramadan Fitri dan Ustaz Zamri Mantop.Semoga akan terpilih untuk menghadiri konvensyen fiqh 2013. InsyaAllah...


Sunday, February 26, 2012

KESYUKURAN YANG TIDAK TERHINGGA...



Alhamdulillah...segala puji hanya pada-Nya...

Sesungguhnya Dialah Ya Wahhab ...Yang Maha Pemberi, Dialah Ya Rozzaq ( Yang Maha Pemberi Rezeki ) Dialah Ya Fatah ( Maha Pembuka ), Dialah Ya A'lim ( Maha Mengetahui )...

Sesungguhnya Dialah Ya Bari' ( Maha Perancang ), Dialah Yang Maha Mengatur kehidupan hamba-Nya...

Bersyukur dengan nikmat yang tidak terhingga kurniaan-Nya. Merujuk kepada Laman Web Kementerian Pendidikan baru-baru ini, Alhamdulillah akhirnya diri ini berjaya memperoleh Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan 2012 setelah menghadiri temuduga yang memeritkan perasaan pada 3 Januari 2012. Melaluinya, akan mendapat cuti dua tahun dengan gaji penuh dan turut memperoleh biasiswa.

InsyaAllah jika diizinkan Allah akan menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Pendidikan Geografi mulai September 2012. Universiti pilihan ialah Universiti Malaya. Semoga Allah akan memudahkan segala urusan diri ini dalam menuntut ilmu.

Semoga segala apa yang diidamkan akan dimakbulkan oleh-Nya. Sesungguhnya kurniaan yang tidak terhingga ini adalah pemberian-Nya. Bila-bila masa sahaja Dia berhak mengambilnya semula. Semoga dengan nikmat-Nya ini akan menjadikan diri ini menjadi hamba yang bersyukur dan terus bersyukur. Semoga Dia memberi sifat istiqomah yang terus menerus dalam membangunkan dan memperjuangkan agama ini...

InsyaAllah akan ku jadikan ilmu ini sebagai jambatan ke arah terus mencari cinta dan redha-Nya....

Tuesday, December 20, 2011

DEBARAN 3 JANUARI 2012




Pengalaman permohonan bagi menyambung pelajaran di peringkat master ( sarjana ) pendidikan di bawah tajaan Kementerian Pendidikan untuk sesi kemasukan 2012 merupakan suatu perkara yang benar-benar menjadikan diri tidak lena malam. Semakan panggilan temuduga di laman web KPM tertera Tahniah anda berjaya. Daripada 6 orang sahabat di sekolah yang sama memohon, hanya diriku dan seorang sahabat yang bernama Khairul.

Sebelum memohon, berhempas pulas menyiapkan proposal sebagai syarat untuk memohon. Dengan tajuk Nilai Cintakan Alam Sekitar dalam kalangan pelajar geografi menengah rendah, bagi menghadapi temuduga ini yang dirasakan seperti hendak terjun ke dalam api, aku berusaha untuk melengkapkan proposal tersebut.

Memang tarikh 3 Jan 2012 itu walaupun dalam tempoh dua minggu lagi, tetapi bahang temuduga tersebut telah dapat aku rasakan.Risau memikirkan temuduga, soalan2 yang ditanya, tetapi yang pasti kena berhujah dan mempertahankan proposal yang dihasilkan. Aku tahu aku merupakan seorang yang tidak kuat berhujah, risau sekali adakah aku mampu menghadapi keadaan itu. Tetapi aku akan hasilkan dan lakukan yang terbaik. Cuma, seperti permohonan temuduga juga, aku tidak mahu terlalu berharap kerana sesungguhnya Allah itu Maha Perancang yang terbaik. Segala-galanya ku berserah pada-Nya.

Cuma di kala ini, di saat hendak menghadapi temuduga HLP 2012 ini, dalam kepala turut ligat memikirkan kerja-kerja sekolah yang belum dibereskan. Minit mesyuarat PIBG, rancangan pengajaran geografi Ting 4 yang belum siap, Rancangan BM Tingkatan 2 yang juga belum siap, di samping esok Rabu 21 Dis Taklimat SBPA, dan kerja2 sukarela selaku fasilitator Kem Al-quran yang akan berakhir pada 22 Dis, juga novel yang terbengkalai genap setahun, begitu juga artikel-artikel yang tertangguh penulisannya dirasakan sangat memberatkan kepalaku ketika ini.

Kerja sekolah itu InsyaAllah akan dilangsaikan, tetapi dalam kepala ini sangat risau memikirkan temuduga. Kali terakhir temuduga tahun 2002 semasa temuduga SPP untuk pengesahan perlantikan, selepas itu tiada lagi temuduga yang dihadiri sehingga kini genap 10 tahun perkhidmatan pada 1 September yang lalu.

Apa-apa pun berserah dan bertawakal setelah berusaha. Semoga Allah memberi peluang kepada diriku untuk belajar dan InsyaAllah jika diberi kesempatan oleh Allah ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD. Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan kepadaku dan dapat atau tidak itu adalah urusan-Nya kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Semoga semua ini tidak menghalang perjalanan dan urusanku untuk belajar di UIA dan UM dan semoga Allah terus memberiku ilmu-Nya untuk disebarkan kepada orang lain. Tidak lupa juga bertanyakan kepada Prof Madya Dr Wan Masri seorang pengamal Asma ul Husna, berbicara dengan hati apabila menyebut nama Allah.sesungguhnya dia maha mendengar.

Ya Rahman, Ya Rohim, Ya Wahab, Ya Karim, Ya Rozaq, Ya A'lim, Ya Fatah, YaQohhar, Ya Latif, Ya Malik sambil berdoa untuk dipermudahkan. Semoga Allah memudahkan urusanku dan urusan sahabat-sahabat lain.InsyaAllah....

Tuesday, December 6, 2011

INDAHNYA KALAM-MU




Kali pertama menghadiri Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan pada 19 dan 20 November yang lalu bertempat di UIA Gombak yang turut dihadiri seramai 500 peserta benar-benar telah berjaya membuka hati dan jiwa ini supaya mempelajari Qiraat itu dengan lebih serius.

Sesungguhnya seminar ini adalah suatu pemangkin, suatu pencetus, suatu peningkat semangat bagi mempelajari suatu ilmu dalam Al-Quran yang semakin berkembang ini. Benarlah, betapa luasnya ilmu Kalam Allah ini. Pertama kali diperdengarkan bacaan 10 qiraat dalam Surah Al-Fatihah dan beberapa surah yang lain, hati terpegun, terkesima sewaktu mendengar Kalam-Nya. Betapa indah apabila dibacakan dalam pelbagai bacaan. Shahdu dan sayunya hati sewaktu mendengar ayat-ayat itu dibacakan. Sebak memenuhi seluruh ruang jiwa. Betapa kelalaian selama ini menguasai diri dan seluruh jiwa.

Benarlah Al-Quran itu mukjizat, Nur-Nya yang semakin mencengkam di jiwa meminta sesuatu ilmu yang benar-benar ingin dipelajari. Sesungguhnya Ya Allah, bimbinglah dan bantulah hamba-Mu ini untuk mempelajari Kalam-Mu. Golongkanlah kami dalam golongan yang sentiasa memperjuangkan Kalam-Mu sehingga akhir hayat kami.

Kalam-Mu itulah yang menyatukan hati dan jiwa kami. Kalam-Mu jua yang membentuk akhlak dan peribadi kami. Sesungguhnya kami benar-benar merindui dan mencintai Kalam-Mu.Bukakanlah jalan seluas-luasnya bagi kami mempelajari ilmu-Mu dan mengajarkannya.

InsyaAllah dengan masa yang ada, dengan tenaga yang ada, dengan kesihatan yang diberikan, dengan rezeki yang dikurniainya, akan kami pahatkan dalam hati dan jiwa kami, ilmu-Mu ini akan kami pelajari dan sebarkan. Kabulkan doa kami Ya Rabb.

Ayat-ayat-Mu sangat indah....Tiada yang lebih indah selain Kalam-Mu.Akhirilah hidup kami dengan memperjuangkan Kalam-Mu....Amin...

Wednesday, August 24, 2011

CINTA RASULULLAH

Hati tersentuh tatkala menonton video ini yang menceritakan betapa cintanya Rasulullah kepada umatnya. Tetapi persoalannya, adakah kita mengingati Rasulullah dalam segala hal. Adakah kita menjadikan Rasulullah sebagai idola dalam segala segi kehidupan kita?

Sesungguhnya betapa kerdilnya diri ini berbanding pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah...Tatkala huru-hara yang berlaku di hari penghabisan, tatkala setiap jiwa manusia itu mementingkan diri sendiri, tetapi Rasulullah tetap mengingati ummatnya...Rasululah sangat mencintai dan mengingati umatnya.

Tapi kita? Di mana hati kita? Adakah hati masih terikat dengan kehidupan duniawi yang semakin lama semakin mencengkam jiwa? Adakah kita masih lagi kedekut untuk berselawat tatkala mendengar namanya disebut? Cukupkah amalan yang membolehkan kita bersama Rasulullah di Syurga Firdaus? Besarkah pengorbanan kita berbanding sahabat-sahabat yang hidup pada zaman Rasulullah? Adakah kita mengikuti sunnahnya walaupun sunnah yang kecil? Betapa kerdilnya diri ini. Betapa tersisihnya diri ini...

Ya Rasulullah sesungguhnya diriku benar-benar mencintai dan merinduimu...

Sunday, July 24, 2011

MUSLIMAH...MALUMU SEUMPAMA MALUNYA SI POHON SEMALU...




Apabila disebut perkataan muslimah, akan segera terbayang dalam lubuk sanubari bahawa muslimah itu adalah seorang wanita bertudung labuh dan bersopan santun. Seorang gadis pemalu yang kaya dengan iman dan jiwa yang kukuh. Seorang gadis yang pandangannya selalu tunduk terhadap perkara yang tidak sepatutnya dilihat, seorang yang bijaksana, tutur katanya yang sopan dan tingkah-lakunya yang pasti akan mengundang pandangan mulia oleh orang lain. Terlalu lengkap rasanya untuk dinilai bagaimana muslimah itu. Bergetar rasa jiwa penulis sendiri apabila menghuraikan siapa itu wanita muslimah. Kalimah yang terlalu mulia dan adakah diri penulis sendiri tergolong dalam golongan muslimah itu sendiri. Sedikit catatan tentang kisah Rasulullah SAW bersama anaknya Fatimah r.a yang boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk diri berusaha menjadi seorang muslimah solehah...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Sayyidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah saw dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah saw menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Pohon semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Pohon semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul A’lamin.

Pohon semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

- Ambillah pengajaran wahai muslimah solehah...malumu seumpama malunya si pohon semalu...Semoga diriku dan wanita-wanita diluar sana tergolong sebagai muslimah solehah. Berusahalah kita menjadi wanita solehah yang diredhai dan dirahmati Allah sentiasa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails