Saturday, September 7, 2013

HIDUP BERMANFAAT





Alhamdulillah diberi peluang untuk menyampaikan " Special Talk" jemputan Srikandi Icore bertempat di Dewan Seminar, Masjid Sultan Abu Bakar yang lalu. Tajuk yang disampaikan 'Hidup Bermanfaat'.

Manusia yang terbaik dalam kalangan kamu adalah manusia yang paling bermanfaat terhadap orang lain. Hidup yang perlu dimanfaat oleh manusia itu seharusnya bermula daripada sebelum Subuh sehingga dia menutup mata pada malamnya. Sumbangan yang terbaik terutamanya kepada diri sendiri, agama, keluarga, masyarakat dan negara. Apatah lagi jika sumbangan itu diringi dengan sifat ikhlas yang menjadi tunjang dalam penerimaan amal.

Hidup yang bermanfaat akan menjadi pencetus utama kecintaan terhadap Allah SWT. Mukmin yang sejati tidak akan mensia-siakan masa yang diberikan kerana masa itu seumpama sebuah kehidupan. Apabila dijaga dengan baik, maka masa itu akan mendekati dan menjadi darah daging kita. Namun apabila masa itu dijadikan sebagai suatu batasan dan sempadan, maka masa itu akan menjauhkan diri daripada kita.

Sekadar memetik mutiara hikmah yang sangat berharga daripada Dr Yusuf al-Qardhawi, beliau mengatakan bahawa jenayah yang paling besar melanda umat Islam pada hari ini ialah membazir masa. Jika diselami kata-kata yang sangat memberikan kebenaran di dunia realiti hari ini, umat Islam sangat dilalaikan dengan masa. Masa yang ada kebanyakkannya dihabiskan dengan sia-sia dan tiada sebarang manfaat yang diperoleh. Hakikatnya ramai yang ketinggalan dan sangatmudah dikutak-katikkan oleh musuh Islam.

Kita mahu menjadi manusia yang bermanfaat. Hidup yang bermanfaat dengan memberi pelbagai kebaikan kepada orang lain. Segala-galanya akan menjadi saksi di akhirat kelak di mana kita menggunakan masa yang sepenuhnya demi membangunkan agama.

Belajar itu suatu perjuangan jihad yang perlu dimiliki oleh semua umat Islam. Belajarlah demi membangunkan agama. Niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu dan semoga segala-galanya mendapat pertimbangan Allah di akhirat kelak.

Hidup di dunia ini perlu bermanfaat dengan memberikan sumbangan kepada orang lain. Dunia ini seumpama benih yang ditebar oleh Sang Petani lalu benih itu hidup subur. Akhirat pula seumpama hasil tuaian yang menggembirakan atau menyedihkan hati Sang petani. Oleh itu, memberikan manfaat itu akan memberikan keuntungan dunia dan ukhrawi kepada manusia itu yang saling memberi sumbangan demi membangunkan agama.

Keikhlasan yang disemai di jiwa akan menjadi perintis kepada segala sumbangan demi agama yang pastinya memberikan anugerah yang tidak ternilai kepada manusia itu.

Akhir kalam, jadilah manusia yang bermanfaat dan sumbangan yang kecil itu akan dinilai sebagai suatu sumbangan besar pada pandangan Allah jika hati itu suci dan ikhlas semata-semata mencari cinta dan reda-Nya.

Terima kasih dengan peluang yang diberikan. Perkongsian ilmu yang pastinya dan tujuan utamanya semata-semata mencari keredaan Allah semata-mata.

Jadikanlah hidup kita di dunia ini memberikan manfaat kepada agama, diri, ibu bapa,keluarga dan masyarakat. Memudahkan urusan itu akan melorongkan pelbagai kebaikan kepada manusia itu.

Wallahua'lam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails