Sunday, January 20, 2013

BIARKAN PENA ITU BERBICARA


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis
( Al-Qalam : 1)


Alhamdulillah....
Allah memberi peluang dan memilih diri ini untuk menimba ilmu daripada penulis-penulis yang hebat dan berpengalaman di Bengkel Penulisan Dakwah Muslimah tanggal 18 Januari 2013 yang lalu di Universiti Islam Antarabangsa. Menghadiri bengkel ini menyemarakkan lagi semangat dan motivasi diri ini untuk menjadi seorang penulis yang benar-benar berada di atas landasannya. Memperoleh tips-tips untuk menulis daripada Tuan Hasanuddin Md Isa dan ditambahkan ilmu tentang penulis itu dengan menghadiri bengkel ini yang memang sangat mengujakan. Mendapat ilmu secara terus daripada Oki Setania Dewi, Ustazah Noraslina Jusin ( Isteri Ustaz Zaharuddin ), Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Hazrizal Jamil terus menerus menyuntik semangat untuk berdakwah dalam bidang penulisan ini. Memang terasa indah dunia penulisan itu apabila menulis di landasan benar yang membawa kepada keredhaan Allah.

Kesimpulan yang boleh diambil daripada keseluruhan bengkel ialah menulis kerana Allah, bukan kerana manusia dan ingin mendapatkan ganjaran semata-mata. Menulis itu adalah suatu dakwah. Suatu dakwah hanya akan berkesan apabila keikhlasan dijadikan teras yang paling utama sebelum memulakan suatu pekerjaan. Niatkan diri menulis kerana Allah kerana setiap perkara yang dimulai kerana Allah akan memperoleh keberkatan di akhirnya. Hanya Allah akan menilai setiap perkara yang dilakukan oleh hamba-Nya. Setiap perkara yang dilakukan perlu dimulai dengan niat. Niat menulis kerana Allah akan memberi pahala yang besar kepada menulis. Niatkan kerana Allah ketika bermula, semasa dan selepas menulis. Keikhlasan yang berpanjangan akhirnya akan sampai ke hati pembaca.

Menulislah dari hati kerana tulisan yang lahir dari hati akan sampai ke hati. Tulislah sesuatu yang bermanfaat supaya membawa kepada kebaikan pada masa akan datang. Tinggalkanlah suatu ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh pembaca. Jika pembaca kembali ke jalan Allah apabila membaca hasil tulisan kita, betapa besarnya dan tersebarnya pahala yang besar di muka bumi ini. Ilmu yang bermanfaat merupakan suatu ilmu yang membawa kepada kebahagian berpanjangan kepada penulis apabila mereka meninggalkan dunia kelak. Tiada yang lebih berharga apabila karyanya dibaca dan menimbulkan keinsafan kepada pembaca lalu mereka berubah dan berhijrah. Alangkah indahnya dan hebatnya apabila kita memiliki karya sedemikian. 

Setiap manusia yang dilahirkan mampu menulis. Carilah dan garaplah ilmu penulisan itu. Penulisan memerlukan kemahiran dan pembacaan yang luas. Sesungguhnya ilham itu datang dari Allah. Ilham yang datang mencurah-curah seperti hujan turun dari langit memang membawa suatu kenikmatan kepada penulis. Namun, andaikata ketika menulis menemui jalan buntu, semaklah dan muhasabahlah diri kenapa berlaku keadaan sedemikian. Luaskanlah pembacaan dan berdoalah kepada Allah supaya segala-galanya dipermudahkan. Menulislah kerana Allah dan Allah akan memudahkannya. Mulakanlah menulis pada hari ini. Jangan ambil sikap suka bertangguh yang ternyata sangat merugikan. Jika tidak bermula hari ini, bila lagi...

Jadikanlah hasil penulisan anda sebagai suatu karya yang dapat memberi manfaat kepada manusia yang lain. Mulakanlah dengan kebaikan dan jika kebaikan itu tersebar, betapa besarnya pahala MLM yang diperoleh. Jauhi penulisan picisan yang melalaikan kerana apabila kita memulakan suatu keburukan, ganjaran yang buruk itu akan kita peroleh. Sebarkan kebaikan, sebarkan manfaat, kebaikan dan kebahagia itu akan berterusan sehingga ke syurga.

Menulis itu suatu dakwah. Jadi, penulis itu adalah pendakwah. Sebarkan ilmu melalui penulisan. Hasilkan penulisan yang mampu mengubah pembaca supaya kembali kepada Allah. Ikhlaskanlah hati sebenar-benarnya ketika menghasilkan penulisan itu. Allah akan membantu hamba-Nya yang ikhlas berjuang kerana-Nya. Sesungguhnya Dia yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi. Bersama-sama kita semarakkan dunia penulisan ini sebagai suatu medan dakwah. Tinggalkanlah ilmu yang bermanfaat sebelum kita meninggalkan dunia ini. Mulakan menulis pada hari ini dan waktu ini. Peruntukkan sedikit masa untuk menulis, istiqomah dan akhirnya disiplin menulis itu akan ditemui. 

Semoga Allah memberi peluang kepada kita untuk menulis semata-mata kerana-Nya. Jangan jadikan popular itu sebagai suatu yang utama. Cukuplah hanya Allah sahaja yang mengetahui niat di hati. Allah dijadikan landasan untuk menulis. Allah akan merahmati hamba-Nya yang melakukan sesuatu kerana-Nya. Indahnya penulisan itu jika berada di landasan yang sebenar. Matlamat suatu penulisan adalah semata-mata kerana-Nya. Jika tidak walaupun pena itu berbicara, langsung tidak akan mendapat apa-apa melainkan hanya letih dan sia-sia semata-mata.

Ayuh! Mulakan menulis pada ketika ini. Kita adalah pendakwah. Bawalah seramai manusia kepada kebaikan. Hanya Dia yang akan membalasnya. Insya Allah.

Raub. 11.46 pagi 20/1/2013

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails