Sunday, July 24, 2011

MUSLIMAH...MALUMU SEUMPAMA MALUNYA SI POHON SEMALU...




Apabila disebut perkataan muslimah, akan segera terbayang dalam lubuk sanubari bahawa muslimah itu adalah seorang wanita bertudung labuh dan bersopan santun. Seorang gadis pemalu yang kaya dengan iman dan jiwa yang kukuh. Seorang gadis yang pandangannya selalu tunduk terhadap perkara yang tidak sepatutnya dilihat, seorang yang bijaksana, tutur katanya yang sopan dan tingkah-lakunya yang pasti akan mengundang pandangan mulia oleh orang lain. Terlalu lengkap rasanya untuk dinilai bagaimana muslimah itu. Bergetar rasa jiwa penulis sendiri apabila menghuraikan siapa itu wanita muslimah. Kalimah yang terlalu mulia dan adakah diri penulis sendiri tergolong dalam golongan muslimah itu sendiri. Sedikit catatan tentang kisah Rasulullah SAW bersama anaknya Fatimah r.a yang boleh dijadikan panduan dan pedoman untuk diri berusaha menjadi seorang muslimah solehah...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Sayyidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah saw dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah saw menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Pohon semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Pohon semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul A’lamin.

Pohon semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walaupun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.

- Ambillah pengajaran wahai muslimah solehah...malumu seumpama malunya si pohon semalu...Semoga diriku dan wanita-wanita diluar sana tergolong sebagai muslimah solehah. Berusahalah kita menjadi wanita solehah yang diredhai dan dirahmati Allah sentiasa.

8 PESANAN SAIDINA ALI BIN ABI TALIB R.A


Saidina Ali bin Abi Talib r.a berkata:

Tiada sifat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyuk

Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia

Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Quran tanpa mengambil pengajaran daripadanya

Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa sifat wara'

Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi

Nikmat yang kekal baik adalah nikmat yang kekal dimiliki

Doa yang paling sempurna adalah doa yang dilandasi keikhlasan

Barang siapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya.
Siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya.
Siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara'.
Sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.

- Ambillah pengajaran dan amalkan dalam kehidupan kita.
Kukuhkan jiwa dan hati dengan iman serta taqwa...

10 SAHABAT BAIK IBLIS DAN 15 MUSUH IBLIS


10 SAHABAT BAIK IBLIS- Semoga kita dijauhkan daripada godaannya...

1. Hakim yang tidak adil
2. Orang kaya yang sombong
3. Peniaga yang khianat
4. Orang pemabuk/peminum arak
5. Orang yang memutuskan silaturrahim
6. Pemilik harta riba
7. Pemakan harta anak yatim
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat dan
sering meninggalkan solat
9. Orang yang enggan memberikan zakat dan kedekut
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tiada
sebarang faedah.

Adakah kita tergolong sebagai sahabat baik Iblis?

15 MUSUH IBLIS


1. Rasulullah SAW
2. Imam dan pemimpin yang adil
3. Orang kaya yang merendah diri
4. Orang yang jujur dan amanah
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk
6. Orang mukmin yang memberi nasihat
7. Orang mukmin yang berkasih-sayang
8. Orang yang sentiasa dan cepat bertaubat
9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram
10. Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci
11. Orang mukmin yang banyak bersedekah dan menderma
12. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang lain
13. Orang yang hafaz Al-Quran dan selalu membacanya
14. Orang mukmin yang baik akhlak dan budinya
15. Orang yang berdiri melakukan solat pada waktu malam ketika
orang lain sedang lena

- Adakah kita termasuk dalam golongan yang dibenci Iblis?

Syaitan dan Iblis memang sejak daripada zaman Nabi Adam merupakan musuh yang sangat nyata bagi manusia. Hanya iman yang kukuh sahaja dapat membentengi godaan syaitan yang dilaknat ini. Hanya Allah sahaja dapat melindungi kita. Semoga hatiku dan jiwaku ini juga semakin kukuh dengan iman dan taqwa...

ALLAH SEMBUNYIKAN BEBERAPA PERKARA ATAS BEBERAPA PERKARA


Terdapat beberapa perkara yang Allah sembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya. Perkongsian ilmu yang didapati daripada kuliah Ustaz Rujhan Razali di Masjid Tengku Abu Bakar baru-baru ini. Sesungguhnya janganlah kita memandang enteng atas sesuatu perkara walaupun kecil.

Allah menyembunyikan redhanya dalam setiap amal yang baik, jadi jangan pandang kecil terhadap sebarang jenis kebaikan walaupun kecil.

Allah menyembunyikan murkanya dalam setiap maksiat, jadi jangan pandang kecil terhadap maksiat atau kemungkaran yang dibuat walaupun kecil.

Allah menyembunyikan para kekasihnya dalam setiap manusia, jadi jangan pandang kecil terhadap setiap manusia walaupun amalannya kelihatan kecil.

Penulis sendiri pernah terbaca suatu kalimah yang membawa pengajaran kepada diri penulis sendiri. Tidak pasti daripada mana sumbernya iaitu kadang-kala manusia yang kita lihat pada pandangan mata kita adalah ahli syurga, tetapi sebenarnya adalah ahli neraka. Begitu juga dengan manusia yang kita lihat adalah ahli neraka, tetapi sebenarnya adalah ahli syurga. Sesungguhnya kita memang tidak diberi kelebihan untuk menilai manusia itu bagaimana dalaman hatinya. Penulis sering memperingatkan diri sendiri bahawa jangan sesekali kita memandang remeh akan amalan yang dilakukan oleh orang lain walaupun kecil. Begitu juga jangan sesekali kita memandang rendah terhadap manusia yang sedikit amalannya, kerana mana tahu pada suatu hari nanti dia akan menjadi lebih baik daripada kita. Begitu juga dengan orang kafir. Jangan sesekali kita mengatakan golongan itu pasti akan masuk ke neraka kerana mana tahu pada masa akan datang dia diberi hidayah oleh Allah dan menjadi manusia yang sangat baik imannya berbanding kita.Sesungguhnya keikhlasan itu tidak dapat diukur oleh pandangan manusia. Hanya Allah sahaja yang dapat menilainya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa ikhlas.Pokok pangkalnya hati. Jagalah hati...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails