Sunday, February 14, 2010

SURAH AL-FATIHAH- MUNAJAT ANTARA HAMBA DAN ALLAH SWT



Abu Hurairah berkata, "Suatu saat, Rasulullah SAW bersabda,
Allah telah berfirman, "Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untukKu dan hambaKu menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hambaKu pinta".

Apabila dia membaca, "Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam",
Allah akan membalasnya dengan berfirman,"HambaKu telah memujiKu".

Apabila dia membaca, "Zat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang",
Allah berfirman, "HambaKu telah memujiKu".

Apabila dia membaca, "Yang Menguasai Hari Pembalasan",
Allah berfirman, " HambaKu telah mengagungkanKu ", lalu Allah berfirman sekali lagi, "HambaKu telah menyerahkan urusannya kepadaKu".

Apabila dia membaca, "Hanya Engkaulah Yang Kami Sembah, Hanya Engkaulah Kami Mohon Pertolongan",
Allah berfirman, " Ini adalah urusan Aku dan Hambaku, dan aku akan mengabulkan apa yang hambaKu pinta".

Apabila dia membaca, " Tunjukilah kami jalan yang lurus, yakni jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat( iman ) kepada mereka, dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat",
Allah berfirman, " Ini adalah untuk hambaKu, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta"

( H.R Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa,i dan Ibnu Majjah )

KATA-KATA HIKMAH IMAM AL GHAZALI



1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita didunia.
Yang paling dekat dengan kita adalah MATI. "Sebab itu janji Allah bahawa yang hidup pasti akan mati" (Surah Ali Imran :185)

2. Apakah yang paling jauh dengan diri kita didunia.
Yang paling jauh dari kita jauh adalah MASA LALU. Walau dengan apa sekalipun kita tak akan dapat kembali kemasa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, esok dan hari-hari
mendatang dengan perbuatan yang bersesuaian dengan Agama.

3. Apa yang paling besar didunia ini.
Yang paling besar didunia ini adalah HAWA NAFSU. "Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke Neraka." (Surah Al A'raf: 179)

4. Apakah yang paling berat didunia.
Yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH. "Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung ganang dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah s.n.w meminta mereka menjadi (khalifah)
pemimpin didunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupinya dan sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah" (Surah Al-Azab :72).

5. Apakah yang paling ringan didunia.
Yang paling ringan didunia adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita dengan mudah meninggalkan solat.

6. Apakah yang paling tajam didunia.
Yang paling tajam didunia adalah LIDAH. Kerana dengan lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

SYARAT INGIN MELAKUKAN MAKSIAT

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN DAN BERZIKIR


Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah s.a.w berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat, lalu baginda berujar: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab mereka: “Kami duduk berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan Agama Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan hidayatnya. Ujar baginda: “Demi Allah, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi Allah, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Ujar baginda pula: “Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku masih meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku, bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”

Dalam satu riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka ujar baginda: “Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat Allah sedang menghujani kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu sekalian.”

Pernah satu ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."

Mendengar itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu , tempat orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Sebenarnya segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu."

Selain pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails